LTDL 2020: Ketiadaan Dyball bukan masalah

Benjamin Dyball memenangi jersi kuning pada LTdL 2019, di tempat sendiri dan di hadapan peminat sendiri yang menjadikan TSC satu kuasa baru di Asia. (Gambar Instagram)

KUALA LUMPUR: Pasukan lumba basikal Sapura Cycling Team (TSC) tidak akan terjejas dengan ketiadaan pemenang jersi kuning tahun lepas Benjamin Dyball, sewaktu mereka menyasarkan untuk mengekalkan penguasaan mereka di Petronas Le Tour de Langkawi 2020 (LTdL), yang dijadualkan dari 7 hingga 14 Feb.

Pengurus Pasukan TSC Sayuti Zahit mengakui, walaupun sukar untuk mereka mengisi kekosongan yang ditinggalkan pelumba dari Australia itu, namun beliau merasakan pelumba yang dipilih untuk edisi ke-25 ini, akan mampu memberikan keputusan yang diharapkan.

“Telah menjadi objektif penubuhan TSC, bagi menyediakan satu platform kepada pelumba dari Malaysia dan luar negara untuk menunjukkan kebolehan mereka. Dan kami di Sapura amat gembira, kerana Dyball berjaya menunjukkan kebolehannya sehingga menarik Pasukan Dunia seperti NTT (sebelum ini Dimension Data), untuk mengambilnya.

“Ini tahun ke-4 TSC bertanding di Asia dan kami bersyukur, kerana penaja kami terus menyokong kami. Penaja utama kami Sapura bersama Casteli, Rudy Project, Shimano dan Cervelo amat baik sekali. Dengan sokongan yang kami terima, ia tidak mustahil untuk menjadi kompetetif dan mahu untuk berjaya lebih lagi, pada 2020,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

TSC bermula dengan sederhana pada 2017 di mana mereka menang hanya 4 peringkat, dengan keputusan lebih baik pada 2018, sebelum menamatkan 2019 dengan memenangi 24 peringkat perlumbaan serta 4 jersi kuning.

Kemenangan paling mengujakan apabila Dyball memenangi jersi kuning pada LTdL 2019, di tempat sendiri dan di hadapan peminat sendiri, yang menjadikan TSC satu kuasa baru di Asia.

Bagaimanapun dengan edisi ke-25 LTdL ini yang diiktiraf berstatus UCI ProSeries, Sayuti berkata, ia menjadi sauatu yang lebih sukar dengan penyertaaan pasukan “World Tour”, bersama dari “Pro Continental” yang bersedia untuk memberikan saingan.

“Ia lebih mudah untuk memenangi perlumbaan peringkat berbanding memenangi jersi. Tetapi kita akan berusaha dengan sebaiknya, bagi memastikan kami mengekalkan jersi kuning yang kami menang tahun lepas. Saya percaya ia boleh dicapai dengan perlumbaan 2020 ini yang lebih rata dan menjadi kesukaan Marcus Culey yang memenangi peringkat pertama dari Kuala Lumpur ke Tampin, pada edisi lepas.

“Atas sebab itu, kami telah kebanyakan pelumba pecut untuk LTdL 2020. Tetapi itu tidak bermakna kami tidak ada pendaki. Kami juga boleh menjadi pesaing pada pendakian Genting Highlands,” katanya.

Selain Culey, masih segar dari kemenangan di Tour de Selangor beberapa minggu lepas, TSC juga telah mengambil pelumba Nur Aiman Zariff dan Muhamad Zawawi Azman, di samping pelumba berpengalaman dari Belanda Roy Eefting.

Mereka juga akan memanggil pelumba lebuh raya Turki dan juara ujian masa Ahmet Orken; bekas pelumba “Floyd Cycling Team”, Serghei Tvetcov dari Romania dan kemungkinan taruhan utama untuk memenangi jersi kuning Pierpaolo Ficara dari Itali yang sebelum ini bersama pasukan “Amore & Vita-Prodir”.

Sebagai sebahagian daripada program TSC untuk berdaya saing di LTdL 2020, mereka akan mengambil bahagian dalam “Cambodia Bay cycling Tour” (pada 6 Jan) dan kemudiannya ke “New Zealand Cycle Classic”, “Race Tourquay” dan “Jayco Herald Sun Tour” di Australia, sebelum kembali ke Kuala Lumpur.

Cabaran lapan peringkat edisi Jubli LTdL ini akan berlangsung dari 7 hingga14 Feb, meliputi 1,095.7 kilometer merentasi sembilan negeri termasuk Sarawak, Terengganu, Pahang, Wilayah Persekutuan (Putrajaya dan Kuala Lumpur), Selangor, Perak, Penang dan Kedah.