Pasaran saham AS ditutup rendah susulan kebimbangan geopolitik

Indeks purata Dow Jones merosot 233.92 mata atau 0.81% kepada 28,634.88, manakala S&P 500 jatuh 23 mata, atau 0.71% kepada 3,234.85. (Gambar Reuters)

NEW YORK: Pasaran saham AS ditutup lebih rendah pada Jumaat susulan kebimbangan pelabur berhubung risiko geopolitik di Timur Tengah, lapor agensi berita China Xinhua.

Indeks purata industri Dow Jones merosot 233.92 mata, atau 0.81% kepada 28,634.88, manakala S&P 500 jatuh 23 mata, atau 0.71% kepada 3,234.85. Indeks Komposit Nasdaq turun 71.42 mata, atau 0.79% kepada 9,020.77.

Pemimpin agung Iran Ayatollah Ali Khamenei berikrar “akan membalas dendam” selepas Amerika Syarikat membunuh komander tertinggin tentera elitnya Qassem Soleimani dalam satu serangan udara di Baghdad pada Jumaat, lapor stesen penyiar rasmi Iran.

Insiden itu juga menyaksikan harga minyak mentah meningkat lebih 2%.

Saham syarikat penerbangan merudum susulan kebimbangan berhubung kenaikan harga minyak. Harga saham American Airlines, United Airlines, Delta Air Lines masing-masing merosot sebanyak 4.95%, 2.05% dan 1.66%.