Penamaan calon PRK Kimanis tegang

Pasukan simpanan persekutuan dikerah mengawal situasi pada penamaan calon PRK Kimanis.

BEAUFORT: Situasi tegang berlaku ketika penamaan calon bagi pilihan raya kecil (PRK) Kimanis, pagi ini apabila para penyokong dari Warisan dan Barisan Nasional mendekati pintu pagar dewan penamaan calon.

Kakitangan pasukan simpanan persekutuan dikerah untuk mengawal keadaan.

Kedua-dua penyokong parti menjerit dengan kuat dengan penyokong BN memanggil penyokong Warisan “penipu” dan menjerit “PSS” merujuk kepada tuduhan BN terhadap kegagalan Warisan-PH-Upko menunaikan manifesto pilihan raya mereka dan kontroversi melibatkan Pas Sementara Sabah.

PSS merupakan dokumen yang diperkenal kerajaan PH bagi menggantikan 3 dokumen warga asing di Sabah iaitu Kad Burung-Burung, Sijil Banci dan IM13 yang akan dikuatkuasakan bermula 1 Jun depan.

Sementara itu, penyokong Warisan bertindak balas dengan menyanyikan lagu Sabah.

Beratus-ratus penyokong dari kedua-dua belah parti bersorak ketika mereka mula berarak mengiringi calon masing-masing ke dewan penamaan calon di Dewan Datuk Seri Panglima Haji Dun Banir.

Warisan menamakan bekas Adun, Karim Bujang manakala Umno Sabah mencalonkan Mohamad Alamin yang juga bekas Adun.

Presiden Warisan, Mohd Shafie Apdal sebelum itu mengingatkan penyokongnya agar tidak mencetuskan provokasi kepada pihak lawan. Beliau juga dilihat menegangkan pita “jangan melintas garisan” sambil mengarahkan polis mengawal keadaan.

“Tolong jangan provokasi mereka. Jangan memulakan pergaduhan,” Shafie didengar berkata kepada penyokong Warisan yang sebahagian besarnya terdiri daripada gerakan pemuda.

Penyokong BN dapat dilihat memegang sepanduk dengan slogan “anak muda melawan, ada lagi penipu” sambil menyeru ahli Warisan beralih sokongan dan menyokong BN.

PRK Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan Anifah.

Hari pengundian awal ditetapkan pada 14 Jan. Kerusi DUN lain di Kimanis adalah Membakut.

Terdapat 29,644 pengundi di Kimanis, yang terdiri daripada 52% Bumiputera Islam, 41% Bumiputera bukan Islam dan 6% Cina.