Penduduk pribumi Sabah tidak tolak PSS, kata menteri

PSS bertujuan menggantikan 3 dokumen pengenalan berlainan yang dimiliki oleh pendatang asing di Sabah. (Gambar Bernama)

KIMANIS: Penduduk pribumi Sabah akan menerima cadangan pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS) kerana ia merupakan satu-satunya penyelesaian kepada masalah pendatang asing di negeri itu, kata seorang pemimpin Kadazan Dusun Murut (KDM) hari ini.

Naib presidn Warisan Peter Anthony, yang mengetuai persatuan KDM Malaysia menafikan wujud tentangan terhadap PSS dalam kalangan kumpulan etnik itu.

“Setakat ini mereka (KDM) selesa. Saya fikir biarkan Jabatan Imigresen dan Majlis Keselamatan Negara menyelesaikan semua isu ini.

“Tidak ada masalah dengan KDM. Mereka akan terimanya kerana ia merupakan penyelesaian terbaik bagi masalah pendatang di Sabah. Ia masih satu cadangan. Terdapat juga banyak masalah teknikal yang perlu diatasi,” kata Anthony pada majlis sambutan Krismas dan Tahun Baru 2020 peringkat negeri di Membakut, dekat sini.

Kebanyakan parti berasaskan kumpulan etnik KDM di Sabah seperti Parti Bersatu Sabah, Parti Solidariti Tanah Airku dan Parti Anak Negeri Sabah menentang pelaksanaan PSS kerana menganggapnya bertentangan dengan Akta Imigresen yang menghendaki pendatang asing menunjukkan pasport ketika memasuki Malaysia.

PSS bertujuan menggantikan 3 dokumen pengenalan berlainan yang dimiliki oleh pendatang asing di Sabah.