Pengerusi baru Unimas tak sabar berkhidmat walau kerajaan negeri merungut

Kamal Mat Salih tidak sabar untuk berkhidmat di Universiti Malaysia Sarawak.

PETALING JAYA: Pengerusi baru Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Kamal Mat Salih menepis aduan terhadap pelantikannya, mengatakan dia tidak sabar untuk berkhidmat di universiti dan negeri itu.

“Saya sedia dan sudi berkongsi wawasan saya untuk universiti ini dengan semua pemegang taruh, termasuk kerajaan negeri,” katanya kepada FMT ketika diminta mengulas kenyataan pejabat ketua menteri bahawa Putrajaya sepatutnya berunding dengan kerajaan negeri mengenai pelantikan itu seperti sebelum ini.

Kamal, pengerusi Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), menggantikan Sulong Matjeraie sebagai pengerusi lembaga Unimas.

Beliau pernah menjadi ahli Parlimen Wangsa Maju dari 1996 hingga 1999 dan memegang jawatan di agensi-agensi kerajaan. Beliau juga pernah menjadi timbalan naib canselor di Universiti Sains Malaysia.

Beliau merupakan orang bukan Sarawak yang pertama dilantik sebagai pengerusi Unimas dan akan berkhidmat selama 3 tahun mulai 1 Jan.

Dalam kenyataan semalam, pejabat ketua menteri Sarawak “kesal” kerajaan negeri tidak dirujuk mengenai pelantikan itu.

Kamal tidak nampak sebarang isu timbul daripada pelantikannya.

“Saya terima tawaran itu,” katanya. “Saya hanya mahu menyumbang.”

“Yang penting adalah bagaimana boleh menggunakan pengalaman dan pengetahuan saya untuk menyumbang kepada universiti dan Sarawak.”