Pengundi wanita ‘kunci kemenangan’ di Kimanis, kata Wanita PH

Pemimpin Wanita PH Zuraida Kamaruddin (duduk, tengah) bersama-sama Jannie Lasimbang dan pemimpin sayap wanita lain di Membakut, Kimanis hari ini.

KIMANIS: Wanita Pakatan Harapan (PH) percaya kunci kemenangan sebenar dalam pilihan raya kecil (PRK) Kimanis adalah pengundi wanita, yang mewakili lebih separuh pengundi di kawasan Parlimen itu.

Pelbagai aktiviti boleh dijalankan sepanjang 2 minggu berkempen bagi menarik golongan wanita supaya mengundi calon Warisan pada 18 Jan depan, kata ketua Wanita PH Zuraida Kamaruddin.

“Ia termasuklah kunjungan rumah ke rumah dan mendengar pandangan serta masalah wanita. Kita akan lihat cara terbaik bagaimana kerajaan boleh membantu mereka,” katanya di Membakut di sini, hari ini.

Terdapat 29,664 pengundi di Kimanis, dengan 14,864 merupakan pengundi wanita.

Pengarah pilihan raya Wanita PH Jannie Lasimbang berkata, kajian akar umbi telah dijalankan bagi memahami keperluan wanita di Kimanis.

Katanya, jawatankuasa pilihan raya Wanita PH telah bertemu banyak kumpulan masyarakat, termasuk Kapitan Kimanis (pemimpin perniagaan orang Cina tempatan) mengenai isu pengangguran, aktiviti ekonomi dan pembangunan infrastruktur.

“Kebanyakan wanita di sini merupakan suri rumah atau terlibat dalam aktiviti pertanian, perikanan dan keusahawanan,” katanya.

Lasimbang, yang merupakan ketua Wanita DAP Sabah berkata, pasukan PH juga mengkaji nasib golongan wanita yang tidak dapat meneruskan pelajaran dan akan mencari jalan untuk menghakupayakan mereka.

Lasimbang berkata, Wanita PH akan menggerakkan antara 200 hingga 300 ahli di peringkat akar umbi pada satu-satu masa sepanjang 2 minggu tempoh berkempen berjalan.

Ini merupakan kali pertama ahli Warisan dan PPBM bekerjasama dengan parti komponen PH dalam satu pasukan.