Penyerang bersenjata bunuh 19 orang di Nigeria

Penyerang bersenjata menyerang komuniti Tawari di negeri Kogi dan membakar rumah dan beberapa bangunan. (Gambar AP)

ABUJA: Penyerang bersenjata membunuh 19 orang dalam serbuan malam hari pada Jumaat ke atas penduduk luar bandar di Nigeria tengah, kata polis.

Lelaki bersenjata itu membakar rumah dan bangunan lain selepas melancarkan serangan terhadap komuniti Tawari di negeri Kogi, 100km dari selatan ibu kota Abuja, pada tengah malam.

“Mereka membakar beberapa rumah, sebuah sekolah, sebuah gereja dan istana pemerintah tempatan,” kata jurucakap polis daerah William Aya kepada AFP.

“Sembilan belas orang terbunuh.”

Sumber keselamatan tempatan memberitahu AFP, pembunuhan itu disyaki dilakukan sebagai tindak balas yang dikaitkan dengan pertempuran melibatkan komuniti saingan di kawasan itu, tetapi tiada pengesahan rasmi.

Jurucakap polis, Aya berkata motif serangan dan identiti penyerang masih tidak dikenal pasti.

“Kami telah memulakan siasatan dan ia akan mendedahkan apa yang berlaku,” katanya.