Perihal mereka yang jahil realiti baru industri media

Kebelakangan ini ada suara-suara yang menuduh Dr Mahathir Mohamad cuba mengambil alih media yang sebelum ini menjadi alat propaganda kerajaan Barisan Nasional, melalui ahli perniagaan dan taikun.

Ia berikutan penutupan syarikat akhbar Utusan Melayu (M) Bhd di samping proses pengecilan syarikat media lain.

Sama ada sengaja “disorokkan” atau barangkali “demi menegakkan benang yang basah”, hakikatnya 5 tahun sebelum Umno tumbang pada pilihan raya umum 9 Mei 2018, Utusan Melayu (M) Berhad sebenarnya sudah bankrap. Ianya terus beroperasi kerana pembiayaan Umno dan sudah tentu model perniagaan ini tidak “sustainable” atau mampan dan merupakan bom jangka yang bila-bila masa sahaja akan meletup dan kemudiannya seperti yang diketahui akhirnya meletup jua setelah kekalahan Umno dalam PRU14.

Masyarakat umum juga sedia maklum bahawa kebanyakan syarikat akhbar sudah beralih ke era digital. Malangnya “pihak yang terbabit” menguruskan Utusan terus kekal dengan cara lama dan akhbar Utusan Malaysia terus dijadikan lidah parti politik.

Taksub dengan cara lama dan isi kandungan akhbar yang dikatakan lebih “membawa suara keramat orang Melayu” itu hilang kredibiliti dan integriti. Pengiklan menjauhkan diri. Jumlah edaran merudum. Pembaca yang lebih bijak tidak mahu disogokkan propaganda dan retorik politik.

Masalah industri media dan akhbar tempatan adalah kedegilan syarikat untuk berkembang atau berubah mengikut masa. Platform digital dan media sosial mengambil alih peranan akhbar cetak.

Menurut kajian pasaran yang dibuat PwC, walaupun perbelanjaan iklan masih didominasi oleh media cetak, tetapi kadar pertumbuhan tahunan iklan oleh media digital adalah 15.9% jauh lebih tinggi berbanding media cetak iaitu 2.1%. Media digital adalah masa depan media bukan sahaja di Malaysia, tetapi di seluruh dunia.

Landskap sektor media berubah dengan pantas selari dengan peredaran zaman.

Di Amerika Syarikat sahaja, 7,800 pekerja dalam sektor media diberhentikan tahun lepas (2019) termasuklah nama besar seperti CNN, Verizon Media dan lain-lain.

Platform media digital lebih produktif dengan jumlah pekerja yang lebih kecil. Pembaca mencari sumber yang lebih dipercayai, pantas dan mudah.

Hakikatnya jika syarikat media lambat mengubah kedudukan mereka, maka mereka akan ditelan arus zaman yang akan membuatkan mereka tidak relevan di kaca mata pengguna seperti Utusan Melayu.

Faktanya kos pengurusan Utusan Melayu (M) Berhad yang menerbitkan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! adalah terlalu tinggi berbanding pendapatan.

Syarikat ini menghadapi masalah kewangan yang amat tenat. Ini memaksa syarikat untuk menawarkan skim pemisahan sukarela (VSS) kepada lebih 800 daripada 1,500 kakitangannya pada 2018. Keputusan ini diambil agak lewat sehinggakan Utusan tidak mampu lagi untuk pembayar pampasan kepada pekerjanya.

Laporan tahunan Utusan Melayu pada waktu itu menunjukkan tanggungan hutang syarikat adalah RM328.17 juta setakat 31 Disember 2017, lebih tinggi berbanding RM302.2 juta yang dicatatkan pada 2016.

Kedudukan kewangan Utusan Malaysia berada dalam keadaan tenat sejak 7 tahun yang lepas, di mana syarikat ini mencatatkan kerugian setiap tahun kewangan berakhir dari tahun 2012 dengan kerugian bersih terakhir dicatatkan pada tahun 2018 mencecah RM184 juta.

Pada 30 Ogos 2019, penerbit akhbar harian berbahasa Melayu tertua yang ditubuhkan pada 1939 itu telah dinyahsenaraikan daripada Bursa Malaysia dengan harga dagangan akhirnya hanya pada 5.5 sen. Ini jauh berbeza berbanding ketika syarikat itu disenaraikan di Bursa Malaysia pada 1994.

Walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk meletakkan syarikat pada kedudukan lebih kukuh dan terjamin termasuk melaksanakan VSS serta menjual aset bagi mendapatkan aliran tunai yang mencukupi, ia masih tidak mencukupi.

Edaran harian akhbar terutama Utusan Malaysia and Kosmo! terus menurun. Jumlah edaran harian akhbar Utusan Malaysia sebelum ditutup hanya lebih kurang 15% berbanding ketika zaman kegemilangannya.

Lebih parah, kedua-dua akhbar ini gagal menepati sasaran pengiklanan untuk membiayai kos operasi. Itu adalah realitinya.

Bukan sahaja gaji pekerja gagal dibayar mengikut masa, malah hutang tidak dapat dijelaskan dan jumlah tertunggak terus melonjak. Syarikat berhadapan pelbagai tindakan perundangan daripada pemiutang.

Akhirnya selepas ulang tahun Utusan ke-80, pada 9 Oktober 2019, Utusan Melayu terpaksa menamatkan operasinya.

Ya, Utusan Melayu sepatutnya sudah bankrap 5 tahun sebelum PRU14 lagi. Umno mengambil pelbagai langkah untuk membiayai syarikat ini sama ada secara langsung atau tidak langsung supaya kedua-dua akhbar ini “terus hidup”.

Tetapi tuan punya atau pemilik Utusan Malaysia dan Kosmo! berdepan dengan kekangan kewangan yang cukup getir. Apatah lagi apabila hilang kuasa.

Walaupun jarang diakui, di mana sahaja di dunia ini, semua akhbar mempunyai “tuan” atau “pemilik”. Kumpulan Media Prima dan Utusan tidak bertuankan individu tetapi sebaliknya bertuankan parti politik.

Tetapi sebagai tuan atau pemilik individu sebuah akhbar, bukankah secara logik beliau akan memikirkan atau mengutamakan keuntungan syarikat? Ia adalah satu perniagaan. Jika tidak untung maka beliaulah yang akan rugi.

Mereka dalam industri ini faham bahawa akhbar memerlukan iklan untuk menjana pendapatan. Untuk menarik pengiklanan, isi kandungan akhbar harus ada kredibiliti dan berkualiti serta dipercayai oleh pembaca. Pengiklan tidak mahu jenama mereka dikaitkan dengan media yang songsang atau tercemar.

Masalah utama akhbar yang “tidak bertuankan individu” adalah keuntungan tidak dipedulikan. Wang dibelanjakan tanpa mengira jumlah pendapatan atau keuntungan.

Satu lagi risiko akhbar yang bertuankan parti politik adalah apabila parti politik itu kehilangan kuasa. Ini terjadi kepada syarikat Utusan Melayu. Akaun pembiaya Utusan dibekukan maka tersungkurlah akhbar yang dikatakan keramat ini.

Realitinya industri media dan akhbar, sama ada di Britain atau Amerika Syarikat, seperti CNN, Bloomberg, dan di negara ini seperti The Edge sehinggalah ke Sin Chew Daily, semuanya memiliki “tuan”.

Sebagai contoh, akhbar Washington Post dimiliki oleh Jeff Bezos pengasas dan pemilik Amazon yang juga merupakan individu terkaya di dunia. Akhbar South China Morning Post dimiliki Jack Ma, orang terkaya di China. Syarikat media Bloomberg dimiliki oleh Michael Bloomberg, individu ke-9 paling kaya di dunia.

Malah di negara ini, syarikat media Astro dikaitkan dengan T Ananda Krishnan, individu ketiga paling kaya di Malaysia dan akhbar The Sun dikaitkan dengan jutawan Vincent Tan.

Syarikat media yang bertuankan individu yang berjaya dan dihormati dunia korporat dapat memastikan kelangsungan perniagaan syarikat, menekankan kepada keuntungan serta pentingnya integriti dan kredibiliti.

Difahamkan, pemilik Media Prima hari ini juga seorang tokoh koporat yang berjaya serta dihormati kerana “business acumen” beliau. Kebanyakan syarikat dan iniatif yang dilaksanakan beliau telah terbukti menjana keuntungan untuk jangkamasa panjang.

Ramai lupa bahawa beliau tidak mengambil kepentingan dalam Media Prima secara percuma seperti yang diinginkan pihak tertentu.
Dianggarkan sebanyak RM250 juta wang tunai atau 60 sen sesaham dibelanjakan untuk membeli 32% kepentingan dalam Media Prima. Di atas kertas, nilai pelaburan itu telah susut 53% berdasarkan harga saham 28 sen Media Prima hari ini.

Pada masa sama sejumlah RM200 juta lagi diperuntukkan untuk membiayai kos pembayaran kakitangan Media Prima yang diberhentikan baru-baru ini untuk memastikan Media Prima tidak terus mencatatkan kerugian dan berakhir seperti Utusan.
Langkah-langkah ini juga diambil untuk memastikan kelangsungan Media Prima untuk beroperasi secara mampan dan lestari di samping mengekalkan jenama penerbitan dan penyiaran di bawah syarikat ini.

Adakah pengkritik-pengkritik lebih suka melihat Media Prima tutup kedai daripada melakukan rasionalisasi kos dengan mengecilkan saiz tenaga kerja di bawah syarikat tersebut?

Pelbagai kritikan dilemparkan. Adakah kita meletakkan double standard kepada siapa yang perlu menguasai media? Kenapa tiada kritikan terhadap pemilik syarikat media lain? Adakah kerana mereka bukan orang Melayu? Atau orang Melayu yang berjaya tidak harus diberikan peluang sama?

Kenapa mereka yang mengepalai syarikat akhbar dan media ini pada masa lalu tidak dipersalahkan atas kelemahan pengurusan yang membawa kepada kejatuhan syarikat-syarikat media ini.

Media adalah satu perniagaan. Perniagaan media berlandaskan kredibiliti dan integriti. Bila politik dibenarkan menguasai akhbar akan tiba masanya akhbar media akan hilang kredibiliti dan integritinya.

Pemilik individu syarikat media sentiasa berteraskan keuntungan dan tuan punya syarikat akhbar sudah tentu akan memastikan media mereka mempunyai kredibiliti dan kepercayaan pembaca bagi menentukan kejayaan syarikat media dan akhbar.

Tanpa kredibiliti dan integriti syarikat media akan lumpuh dan akhirnya akan terkubur oleh kerana tidak lagi menjadi relevan di mata pengguna dan juga pengiklan yang merupakan sumber pendapatan mereka.

Mohd Syahir merupakan pemerhati bebas media.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.