Soalan peperiksaan ‘puji’ Zakir Naik ikut prosedur, kata UniMAP

Naib Canselor UniMAP, Badlishah Ahmad berkata, soalan tular itu telah ditafsir di luar konteks objektif pengajaran dan pembelajaran kursus tersebut. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengesahkan bahawa soalan bagi peperiksaan Kursus Hubungan Etnik (UUW235), termasuk soalan tular yangn melibatkan penceramah kontroversi Zakir Naik dibuat mengikut prosedur akademik ditetapkan selepas siasatan terperinci dijalankan.

Naib Canselor UniMAP, Badlishah Ahmad berkata, soalan tular itu telah ditafsir di luar konteks objektif pengajaran dan pembelajaran kursus tersebut.

“Pembinaan soalan adalah mengikut prosedur akademik yang ditetapkan, malah kesemua panel penilai soalan yang dilantik universiti terdiri daripada pelbagai bidang dan kaum.

“Hasil siasatan terperinci, kesemua soalan dikemukakan selari dengan tajuk ‘Cabaran-cabaran Hubungan Etnik dan Isu-isu Semasa’.

“Justeru, penularan soalan yang dianggap menyentuh sensitiviti kaum ini adalah kerana ia ditafsir di luar konteks objektif pengajaran dan pembelajaran bagi kursus itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, kecoh di media sosial susulan penyebaran kertas peperiksaan yang menggelar Naik sebagai “ikon dunia Islam”.

Soalan itu berbunyi, “Zakir Naik merupakan salah satu ikon dalam dunia Islam, beliau banyak berjasa dalam menyebarkan Islam yang sebenar dan mengikuti al-Quran dan Sunnah Rasulullah. Beliau mampu berhujah dan mampu menjawab setiap pertanyaan yang diajukan kepadanya dengan baik.

“Namun begitu di Malaysia, beliau tidak lagi dibenarkan untuk menyampaikan dakwah. Pada pendapat anda sebagai rakyat Malaysia, mengapakah hal ini boleh berlaku?”

Jawapan pelbagai pilihan disediakan kepada pelajar dengan alasan berikut:

  1. Rakyat Malaysia yang malas mengambil tahu.
  2. Rakyat Malaysia yang mudah rasa terancam tanpa usul periksa.
  3. Rakyat Malaysia yang bersifat menuruti sahaja tanpa usul periksa.
  4. Rakyat Malaysia yang bodoh tentang agama masing-masing.

Dalam pada itu, UniMAP mengakui berlaku kekhilafan dalam menterjemah perkataan bahasa Inggeris “ignorant” kepada “bodoh” dalam pilihan jawapan ke-IV pada soalan tersebut.

Menurut Badlishah, pihaknya akan memperkemaskan penilaian soalan agar tidak lagi menyentuh isu secara spesifik malah pada soalan berbentuk pendapat, UniMAP juga tidak lagi akan memasukkan pilihan jawapan.

Soalan peperiksaan itu kecoh selepas Naib Presiden MIC, Sivarraajh Chandran mempertikaikan soalan itu di Facebook yang disifatkan tidak menghormati sensitiviti kaum.