Tak perlu mesyuarat PH untuk lantik menteri ganti Maszlee, kata PPBM

Ketua penerangan PPBM Radzi Jidin berkata, semua pihak perlu menghormati prerogatif atau hak budi bicara perdana menteri untuk melantik menteri pendidikan baru bagi menggantikan Maszlee Malik. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: PPBM hari ini berkata, tidak ada keperluan bagi perdana menteri membincangkan pelantikan menteri, sekali gus menolak cadangan supaya pelantikan menteri pendidikan yang baru dibuat dalam mesyuarat Pakatan Harapan (PH).

“Menurut Perkara 43(2)(b) Perlembagaan Persekutuan atas nasihat perdana menteri, Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik menteri daripada kalangan ahli mana-mana majlis Parlimen.

“Ini bermakna adalah menjadi prerogatif atau hak budi bicara perdana menteri untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong tentang pelantikan seorang menteri,” kata ketua penerangan PPBM Radzi Jidin dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, dalam konteks pelantikan menteri pendidikan yang baru bagi menggantikan Maszlee Malik yang meletak jawatan berkuat kuasa semalam, tidak wujud keperluan bagi PH untuk bermesyuarat bagi memilih pengganti beliau.

Terdahulu hari ini, setiausaha agung DAP Lim Guan Eng ketika menjawab pertanyaan pemberita mengenai cadangan supaya pengganti Maszlee dilantik dalam kalangan ahli akademik berkata, adalah lebih baik perkara itu dibincangkan terlebih dahulu, namun mengakui keputusannya adalah terserah kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Saya rasa lebih baik kita bincang bersama dalam Pakatan Harapan. Semua ada pandangan, biar kita bincang…itu lebih baik,” katanya selepas majlis perasmian menaik taraf Blok 826 Kuarters Kastam Bagan Jermal di Butterworth.

Dalam perkembangan sama hari ini, timbalan pengerusi PPBM Kelantan, Sazmi Miah menyetujui pencalonan ahli Parlimen Jeli Mustapa Mohamad sebagai menteri pendidikan yang baru kerana pengalaman dan rekod baiknya sebagai menteri dalam kerajaan sebelum ini.

“Berbanding dengan calon yang disebut-sebut dan ahli Parlimen yang ada, baik daripada pembangkang, Tok Pa (Mustapa) bukan sahaja paling berpengalaman, tetapi terbukti mempunyai prestasi terbaik, selain tiada kontroversi atau rekod buruk setakat beliau memegang jawatan dalam kerajaan sebelum ini,” katanya.

Maszlee mengumumkan peletakan jawatan sebagai menteri pendidikan berkuat kuasa semalam dalam satu sidang media di pejabatnya, pada Khamis.

Radzi berkata, semua pihak mestilah menghormati prerogatif atau budi bicara perdana menteri untuk melantik menteri pendidikan yang baru.

“PPBM berdiri teguh bersama perdana menteri dalam apa jua keputusan beliau berhubung pelantikan menteri pendidikan yang baru demi kemajuan pendidikan negara,” katanya.