4 transgender antara ditahan dalam operasi di pusat hiburan

KUALA LUMPUR: Seramai 42 pelayan pelanggan (GRO), termasuk 4 lelaki berperwatakan wanita warga asing ditahan dalam Operasi Noda di sebuah pusat hiburan di Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Rusdi Mohd Isa dalam kenyataan berkata, kesemua yang ditahan merupakan warga Thailand, Vietnam, Laos dan Filipina berusia 19 hingga 40 tahun.

Beliau berkata, dalam serbuan kira-kira 1.50 pagi tadi, polis turut menahan seorang lelaki tempatan yang juga pengurus premis dan 4 pelayan warga Bangladesh.

“Polis juga menahan seorang lelaki berusia 20-an di pusat hiburan ini yang mempunyai rekod dikehendaki bagi kes mendatangkan kecederaan menggunakan senjata di Selayang,” katanya.

Kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1992, Seksyen 55B/6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.