Guan Eng yakin ekonomi tahun ini lebih baik, garis 5 pemangkin pertumbuhan

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, pertumbuhan ekonomi negara masih sihat, dengan unjuran pertumbuhan 4.7%, lebih baik berbanding negara lain.

GEORGE TOWN: Kerajaan yakin pertumbuhan ekonomi negara pada tahun ini akan lebih baik berbanding tahun lepas dengan adanya pelbagai inisiatif kerajaan.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, Malaysia sebagai sebuah ekonomi yang berdaulat menghadapi banyak cabaran, namun kerajaan berusaha untuk menangani isu ekonomi berdasarkan asas ekonomi.

Beliau berkata, kerajaan mahu memastikan asas ekonomi kekal kukuh, termasuk dari segi fiskal, selain mengekalkan keyakinan bukan sahaja pelabur, malah agensi antarabangsa.

“Kita boleh lihat pertumbuhan ekonomi negara masih sihat, dengan unjuran pertumbuhan kira-kira 4.7%, lebih baik berbanding negara lain.

“Sesetengah negara jiran jauh lagi teruk, tetapi kita yakin bahawa tahun ini kedudukan ekonomi akan lebih baik berbanding tahun lepas,” katanya semasa sidang media penganjuran rumah terbuka Tahun Baru Cina 2020 bersama menteri kewangan oleh Dewan Perniagaan Tionghua Pulau Pinang di sini, hari ini.

Lim berkata, kerajaan mengenal pasti lima perkara yang akan menjadi penggerak atau pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negara tahun ini.

Perkara itu ialah harga komoditi, termasuk kelapa sawit dan minyak mentah telah meningkat; ketegangan perang dagang akan reda dan peningkatan perbelanjaan kerajaan.

“Perkara keempat adalah reformasi institusi yang akan mendorong penjimatan, keberkesanan dan kecekapan tercapai.

“Terakhir adalah inisiatif kerajaan yang akan menyuntik dana kepada pasaran, antaranya program e-dompet yang akan dijalankan minggu depan,” katanya.

Lim berkata, berlandaskan semua inisiatif yang dilaksanakan dan langkah yang diambil, kerajaan optimis bahawa pertumbuhan ekonomi tahun ini akan lebih baik daripada tahun lepas.