Kumpulan al-Shabab serang pangkalan diguna tentera AS di Kenya

Kumpulan militan Somalia, al-Shabab. (Gambar AP)

NAIROBI: Kumpulan militan al-Shabab menyerang pangkalan tentera di Lamu, sebuah negeri di Kenya, yang digunakan oleh tentera Amerika Syarikat dan juga Kenya pada Ahad, menurut sumber dan kenyataan al-Shabab.

“Mereka menyerang landasan terbang di Lamu, yang terletak bersebelahan dengan pangkalan tentera yang menempatkan anggota tentera dari banyak negara, termasuk Kenya dan AS.

“Kami difahamkan pertempuran masih berlaku,” kata sumber kepada Reuters.

Beliau berkata, pejuang kumpulan itu cuba memasuki pangkalan berkenaan dari landasan terbang tersebut.

Al-Shabab, sebuah kumpulan pemberontak Islam dengan hubungan dengan al-Qaeda, berjuang untuk menumbangkan kerajaan Somalia yang lemah yang disokong oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), turut mengeluarkan satu kenyataan dan menjanjikan kemas kini.

“Satu kumpulan elit tentera daripada ‘Briged Syuhada’ Harakat al-Shabab al-Mujahideen melancarkan serangan berani ke atas pangkalan tentera laut AS dikenali sebagai ‘Kem Simba’ di negeri Lamu, Kenya.

“…pangkalan itu menempatkan beberapa ratus anggota tentera AS dan Kenya dan berperanan sebabagi salah satu daripada banyak tapak pelancaran perang salib AS terhadap Islam di rantau ini,” kata kenyataan al-Shabab.