Lakukan 5 aktiviti lebih ringan untuk azam 2020 ini!

Masih belum terlambat untuk anda merancang perjalanan kehidupan yang lebih baik pada tahun baru ini.

Namun perancangan tersebut perlulah konsisten dan tidak hanya “hangat-hangat tahi ayam” sahaja di peringkat permulaan.

Sebagai contoh, tahun ini anda ingin lebih kurus, jadi anda akan makan mengikut diet yang sembang, namun ia hanya bertahan pada tiga bulan pertama sahaja.

Tetapi, anda terus tidak mampu mengawal nafsu makan, akhirnya diet anda tidak membuahkan hasil.

Berikutan itu, pada tahun 2020 ini tukar lah azam tersebut dengan cara yang lebih “ringan” supaya anda mampu lebih konsisten untuk lakukannya.

1. Bangun 30 minit lebih awal

Bukan mudah untuk bangun tepat pada waktunya, lebih-lebih lagi jika anda biasa tidur lambat.

Daripada berazam untuk bangun seawal yang mungkin, anda boleh tetapkan sasaran untuk bangun 30 minit lebih awal daripada biasa.

Mereka yang selalunya tiada masa untuk menikmati secawan kopi akan menyedari bahawa semuanya lebih teratur jika mereka meluangkan sedikit masa untuk menenangkan fikiran.

Semestinya lebih baik daripada jika mereka terpaksa terkejar-kejar untuk ke pejabat.

Jika anda mempunyai tabiat untuk tekan butang “snooze” setiap kali jam loceng anda berbunyi, cuba letakkan telefon atau jam anda jauh daripada katil.

Untuk memadamkan bunyinya, anda perlu bangun daripada katil secara fizikal.

Dengan cara ini, kemungkinan untuk anda kembali tidur akan berkurangan.

2. Tetapkan lima minit sehari untuk kesihatan mental

Semua orang perlu berhadapan dengan tekanan, justeru kita perlu berazam untuk menanganinya dengan lebih baik.

Sediakan masa khusus supaya anda boleh menenangkan fikiran setelah melalui hari yang penuh dengan cabaran. Lima minit pun sudah mencukupi!

Dalam laman sosial YouTube, terdapat video yang dilengkapi dengan bunyi hujan turun, ataupun video yang mengajar anda cara untuk bermeditasi.

Semuanya mampu membantu menghilangkan tekanan.

3. Lakukan senaman regangan setiap pagi

Sebaik sahaja anda bangun, regangkan badan.

Ahli psikologi daripada Universiti Harvard, Amy Cuddy, berkata seseorang itu boleh memperbaiki hidup dengan membuat senaman regangan pada waktu pagi.

Setelah bangun dari tidur, angkatkan kedua-dua belah tangan dan buat bentuk V.

Menurut Amy, besar kemungkinan anda akan rasa lebih gembira sepanjang hari itu.

Jika tidak, emosi anda mungkin tidak teratur pada hari itu.

4. Mulakan hobi baru

Daripada menjadi ahli di mana-mana gimnasium, adalah lebih baik anda mencuba hobi baru yang memberikan kebaikan pada kesihatan.

Ini kerana berlari di atas “treadmill” atau di pusat rekreasi sahaja amat membosankan.

Aktiviti lain seperti “jungle trekking” mendaki bukit atau memancing mungkin akan menarik minat anda.

5. Ikuti diet “flexitarian”

Diet jenis “vegetarianism” dan “veganisme” semakin popular, seiring dengan peningkatan kesedaran kesan pengambilan terlalu banyak daging dalam jumlah makanan harian terhadap alam sekitar dan kesihatan.

Jika belum bersedia, anda boleh cuba mengurangkan pengambilan daging dalam seminggu, ataupun ikuti diet “flexitarian”.

Mungkin tidak masuk akal, tetapi menambahkan lebih banyak sayur-sayuran ke dalam diet anda memang bagus untuk alam sekitar, kesihatan dan juga kemahiran memasak anda.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]