Menteri saran negeri tak setuju naik tarif air kemuka mekanisme

Xavier Jayakumar (tengah) menanam pokok ketika melancarkan Program Restorasi, Tebus Guna dan Rehabilitasi Melalui Penanaman Pokok, hari ini.

KLANG: Mana-mana negeri yang tidak bersetuju dengan cadangan kenaikan tarif air perlu mengemukakan mekanisme kepada kementerian bagi memastikan ia mampu membekalkan air untuk rakyat sepanjang masa.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Xavier Jayakumar berkata beliau akan terus mengadakan perbincangan dengan negeri-negeri terlibat.

“Tak apa, saya akan bincang dengan Negeri Sembilan. Kalau tak naikkan (tarif air) Negeri Sembilan perlu ada mekanisme lain bawa kepada kementerian untuk tunjuk tak akan ada masalah air di Negeri Sembilan atau negeri-negeri lain.

“Tak ada negeri yang kata tak nak naikkan harga. Ada negeri yang sudah bersetuju jadi kita akan bawa ke Kabinet untuk kelulusan dan umumkan dalam masa terdekat.

“Negeri-negeri yang belum sedia berbuat demikian kita akan terus bincang dengan mereka,” katanya pada sidang media Program Restorasi, Tebus Guna dan Rehabilitasi Melalui Penanaman Pokok, hari ini.

Semalam, Negeri Sembilan dilaporkan tetap dengan pendirian tidak menaikkan tarif air selari dengan janji kerajaan PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Tahun lalu, Xavier berkata semua negeri secara dasarnya bersetuju menaikkan tarif air tahun ini namun kadar kenaikan masih belum diputuskan.

Xavier berkata sekiranya isu air tidak ditangani segera, negara bakal berdepan krisis air pada 2025.

“Kita tahu dah negeri-negeri mana yang situasinya memang kritikal. Kalau tak buat apa-apa sekarang, dalam 5 tahun kita akan ada masalah air yang besar dalam negara kita.

“Kita cuba atasi ini dengan program dan rancangan dalam RMK12 akan datang,” katanya merujuk Rancangan Malaysia ke-12.

Beliau turut menegaskan setiap negeri tidak boleh memiliki rizab air dan pelbagai langkah perlu dilaksanakan bagi memastikan kadar rizab air itu meningkat.

Sementara itu, kementerian akan menjalankan program menanam 100 juta pokok hutan di seluruh Semenanjung menjelang 2025 sempena Hari Hutan Antarabangsa.

“Ia bertujuan untuk memperindahkan dan menghijaukan kawasan terlibat. Saya harap apabila kita sudah tanam nanti, komuniti tempatan dengan kerjasama agensi untuk pastikan pokok-pokok ini akan hidup.

“Saya berharap juga dalam kawasan bandar akan ada banyak kawasan yang boleh dijadikan hutan mini dengan kerjasama semua negeri,” katanya.