Pemergian atlet angkat berat OKU kehilangan besar buat negara

Atlet powerlifting OKU, Muhamad Ata Maarof meninggal dunia dalam kebakaran. (Gambar Facebook)

JOHOR BAHRU: Pemergian atlet powerlifting Orang Kurang Upaya (OKU) Muhamad Ata Maarof akibat kebakaran di rumah keluarganya di Taman Pagoh Jaya dekat Muar, semalam disifatkan sebagai kehilangan besar buat arena sukan para negara.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Ekonomi negeri Sheikh Umar Bagharib Ali berkata beliau akan melawat keluarga atlet berusia 28 tahun yang pernah meraih pingat gangsa dalam Para Sukan Malaysia (Sukma) ke-19, 2 tahun lepas, setelah selesai urusan rasmi di luar negara pada 7 Jan ini.

“Takziah saya ucapkan buat keluarga arwah… pemergiannya merupakan satu kehilangan besar buat arena sukan para negara apatah lagi negeri Johor sendiri.

“Malah saya juga memaklumkan khabar duka ini kepada pihak Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) serta pihak kerajaan negeri sendiri,” katanya menerusi kenyataan, semalam.

Beliau turut mendoakan semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama para solihin dan jasa serta sumbangan Muhammad Ata akan sentiasa dikenang.

Muhammad Ata meninggal dunia selepas dapur rumahnya terbakar sebanyak 60% dalam kejadian yang berlaku kira-kira 11.30 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Muar Zaharudin Rasip yang dihubungi mengesahkan Muhammad Ata yang lumpuh akibat kemalangan 5 tahun lepas, ditemui rentung.

Muhammad Ata yang mewakili Johor, meraih pingat gangsa pada temasya Para Sukma ke-19 di Perak 2 tahun lepas, dengan angkatan 55kg bagi kategori 65kg.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) turut menyifatkan pemergian Muhammad Ata sebagai satu kehilangan besar buat negara.

“Arwah (Muhammad Ata) pernah mewakili negeri Johor ke Sukan Sukma di Perak dan pada masa sama turut menyertai kejohanan yang dianjurkan Majlis Sukan Negara dan persatuan.

“Sememangnya pemergian arwah adalah satu kehilangan kepada negeri dan negara kerana potensinya selain berlatih sejak 3 tahun lalu,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Menurut Ayub, walaupun Muhammad Ata bukan di bawah kelolaan PABM sebaliknya Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), namun semangat yang ditunjukkan Allahyarham terhadap sukan diceburinya itu amat dihargai.

Ayub berkata pihaknya menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan akan menyalurkan bantuan serta sumbangan kepada anggota keluarganya dalam kadar segera.