Peralihan kuasa PM perlu dalam suasana baik, Anwar jawab desakan PH tetap tarikh

Bulan lepas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, yang berulang kali menegaskan akan menyerahkan kuasa kepada Anwar berkata, proses itu tidak mungkin berlaku sebelum Malaysia menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Apec 2020 pada Nov tahun ini.

SERDANG: Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata, isu peralihan kuasa jawatan perdana menteri perlu dilakukan dalam suasana baik dan tidak harus dihangatkan.

Katanya, peralihan kuasa antara beliau dan Dr Mahathir Mohamad perlu dibincang dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

Beliau mengulas kenyataan ketua Pemuda PKR Akmal Nasir yang menggesa sekretariat PH supaya menetapkan tarikh bagi memudahkan peralihan jawatan perdana menteri pada tahun ini.

“Ada pandangan begitu, tapi seperti yang kita persetujui, ia harus dibincang antara saya dengan perdana menteri atau sebaiknya dalam forum Majlis Presiden PH.

“Tapi ia wajar dibincang dalam suasana lebih baik dan tidak perlu dihangatkan isu ini. Kebimbangan yang disuarakan itu kerana ada percubaan luar untuk menggugat perkara ini.

“Tapi saya tidak fikir ia harus mengalih pandangan kita terhadap isu pokok dalam negara kita,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penghargaan murid cemerlang UPSR sekolah Tamil Selangor di Serdang hari ini.

Dalam satu kenyataan semalam, Akmal, yang juga ahli Parlimen Johor Bahru menggesa Majlis Presiden PH segera menetapkan tarikh peralihan kuasa kepada Anwar pada Mei ini.

Katanya, peralihan kuasa bagi jawatan perdana menteri ke-8 kepada Anwar boleh berlaku dengan harmoni seperti yang ditunjukkan dalam kes menteri besar Johor dan menteri pendidikan.

Bulan lalu, Mahathir, yang berulang kali menegaskan akan menyerahkan kuasa kepada Anwar berkata, proses itu tidak mungkin berlaku sebelum Malaysia menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Apec 2020 pada Nov tahun ini.

Serah kepada perdana menteri pilih pengganti Maszlee

Mengulas isu pengganti Maszlee Malik sebagai menteri pendidikan Anwar berkata, ia perlu diserahkan kepada perdana menteri untuk menentukannya.

“Saya ingat dari segi konvensyennya, ia kuasa budi bicara perdana menteri mengisi kekosongan, tetapi ini terserah kepada beliau dan pimpinan PH kalau nak adakan perbincangan.

“…tetapi pada pendapat saya, kekosongan selalu diisi mengikut budi bicara, mengikut keputusan ditetapkan dulu,” katanya.

PPBM dalam satu kenyataan semalam berkata, tidak ada keperluan bagi perdana menteri untuk membincangkan pelantikan menteri, sekali gus menolak cadangan supaya pelantikan menteri pendidikan yang baru dibuat dalam mesyuarat PH.

“Menurut Perkara 43(2)(b) Perlembagaan Persekutuan atas nasihat perdana menteri, Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik menteri daripada kalangan ahli mana-mana majlis Parlimen.

“Ini bermakna adalah menjadi prerogatif atau hak budi bicara perdana menteri untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong tentang pelantikan seorang menteri,” kata ketua penerangan PPBM Radzi Jidin.

Kenyataan Radzi itu menyusul kenyataan setiausaha agung DAP Lim Guan Eng ketika menjawab pertanyaan pemberita mengenai cadangan supaya pengganti Maszlee dilantik dalam kalangan ahli akademik berkata, adalah lebih baik perkara itu dibincangkan terlebih dahulu (dalam mesyuarat PH), namun mengakui keputusannya adalah terserah kepada perdana menteri.