Perancis sifatkan kes bunuh bersenjata pisau sebagai serangan pengganas

Pegawai polis rusuhan membuat rondaan selepas seorang lelaki menyerang pejalan kaki di Villejuif, selatan Paris. (Gambar AP)

PARIS: Penyiasat anti-pengganas Perancis berkata mereka mengambil alih siasatan ke atas serangan oleh lelaki bersenjatakan pisau yang membunuh seorang pejalan kaki dan isterinya di sebuah taman di selatan Paris sebelum ditembak mati oleh polis.

Polis berkata lelaki itu, yang dikenal pasti sebagai Nathan C, 22, menyerang beberapa orang pada waktu makan tengah hari pada Jumaat di pinggir bandar Villejuif dan mereka pada awalnya menyifatkan insiden itu sebagai insiden jenayah bukan keganasan.

Tetapi dalam satu kenyataan, badan penyiasatan anti-pengganas kebangsaan Perancis (PNAT) berkata walaupun Nathan C diketahui mengalami masalah psikiatri, bukti membimbangkan juga muncul mengenai penukaran agamanya kepada Islam dan radikalisasi.

“Siasatan selama beberapa jam membolehkan kami menunjukkan bahawa dia sudah pasti radikal (dan menunjukkan) … penyediaan teratur untuk dia bertindak ke arah itu,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, majistret tempatan memberitahu sidang media bahawa Nathan C menjerit “Allahu Akbar” semasa serangan itu.

Nathan C memeluk Islam pada pertengahan 2017 dan dipercayai mengalami masalah psikiatri yang serius sejak kanak-kanak, dengan beberapa rawatan di hospital. Pada Jun dia berhenti mendapatkan rawatan.

Dia menyerang pasangan itu, membunuh suami dan mencederakan isterinya sebelum mencederakan seorang wanita yang sedang berjoging.

Perancis tetap berwaspada selepas beberapa siri serangan oleh pelampau jihadis sejak 2015, dengan lebih 250 orang terbunuh.