Perkara biasa, kata Kadir Jasin berhubung peletakan jawatan Maszlee

PETALING JAYA: Wartawan veteran A Kadir Jasin tidak melihat besar peletakan jawatan menteri pendidikan Maszlee Malik minggu lepas dengan berkata, ia perkara biasa di mana-mana negara maju atau negara yang politiknya tidak stabil.

“Di negara maju atau negara yang politiknya tidak stabil, bukan sahaja menteri dipecat atau letak jawatan, perdana menteri pun sering meletakkan jawatan,” kata penasihat media dan komunikasi kepada perdana menteri di laman blognya hari ini.

Kadir berkata, perdana menteri mempunyai budi bicara untuk menasihatkan atau memecat menteri Kabinet tanpa perlu memberikan alasan, terutama sekali jika kesan pendedahan itu akan mengeruhkan keadaan atau mengaibkan reputasi seseorang.

“Menteri dilantik, dipecat dan menteri letak jawatan, sepatutnya semua itu perkara biasa, tetapi di Malaysia, perkara biasa boleh jadi aneh dan sensasi,” katanya dengan berkata, menteri juga berhak untuk meletak jawatan secara sukarela.

Bercakap tentang peletakan jawatan Maszlee secara khusus, Kadir berkata, tidak ada apa-apa yang istimewa tentang perkembangan itu.

“Maszlee dinasihatkan letak jawatan. Dia akur. Maka dia pun letak jawatan.”

Beliau berkata, Dr Mahathir Mohamad biasanya akan memberi peluang kepada menteri meletakkan jawatan secara sukarela, dan “kalau (mereka) enggan, barulah dipecat”.

“Lazimnya tindakan beliau menasihatkan seseorang menteri meletakkan jawatan adalah berdasarkan kepada prestasi semata-mata. (Mungkin) beliau ada sebab lain atau alasan tambahan. Maklumlah beliau mempunyai sumber maklumat dan risikan yang banyak,” katanya.

Maszlee mengumumkan meletak jawatan pada Khamis, kira-kira 20 bulan selepas dilantik sebagai menteri pendidikan dengan jangkaan akan melakukan pembaharuan penting dalam sektor pendidikan.

Beliau berkata, keputusannya itu dibuat berdasarkan nasihat perdana menteri.