Pesara tentera tanam cendawan tiram ‘warna-warni’

Ahmad Mokhtar berkata cendawan ‘warna-warni’ menimbulkan keterujaan yang bukan hanya berbeza dari segi warna, tetapi juga mempunyai tekstur tersendiri. (Gambar Bernama)

PEKAN: Kuning, merah jambu, putih dan hitam antara warna ‘baru’ cendawan tiram, yang lazimnya ditemui berwarna kelabu.

Bukan hanya warna, Ahmad Mokhtar Daud, 46, atau dikenali sebagai “Siffu Mushroom” dari Kampung Panchor juga memperkenalkan inovasi produk cendawan yang biasanya hanya digoreng atau dimasak tumis air.

Siapa sangka, cendawan tiram juga enak dijadikan inti murtabak manakala cendawan sisir yang lazimnya dimasak lemak cili api atau sambal boleh menjadi ramuan utama sambal hitam yang sinonim dengan Pahang dan acar buah.

“Inovasi mempelbagaikan produk cendawan timbul kerana mahu memanjangkan jangka hayat cendawan selain mahu ia mudah dibawa dan sedia dimakan pada bila-bila masa selain mahu memenuhi permintaan pasaran yang lebih pelbagai.

“Usaha hampir setahun mencari resepi paling sesuai dengan keluarga dan pegawai pembimbing sebagai pengkritik paling kuat akhirnya membuahkan hasil kerana produk berasaskan cendawan kini semakin mendapat tempat,” katanya kepada Bernama semasa ditemui, semalam.

Ahmad Mokhtar, yang juga ketua pegawai eksekutif (CEO) Pekan Mushroom Resources Sdn Bhd menambah kata, tekstur dan rasa yang berlemak menjadikan cendawan tiram sesuai dijadikan inti murtabak sekaligus boleh disajikan kepada golongan “vegetarians”.

Sifat tidak mudah berpuas hati menjadikan Ahmad Mokhtar, anak kelahiran Pendang, Kedah kini dalam perancangan mengeluarkan pekasam cendawan, yang kini hanya “menunggu masa” untuk dikomersialkan selepas menjalani pelbagai ujian rasa.

“Produk sedia ada sudah dipatenkan bagi melindungi hak cipta dan Alhamdulillah, produk kami bukan hanya dikenali di Pahang, tetapi sudah mula menjelajah Kuala Lumpur, Sarawak dan dibawa ke luar negara oleh pelajar kerana boleh disimpan selama hampir setahun walaupun tanpa bahan pengawet,” katanya.

Melihat 6 buah rumah cendawan di tanah seluas hampir 0.4 hektar mungkin menyebabkan ramai beranggapan Ahmad Mokhtar sudah lama berkecimpung dalam dunia pertanian, sedangkan bidang itu hanya dikenalinya sejak 2 tahun lepas.

Malah beliau tidak menjangka akan berjinak-jinak dengan cendawan, kerana niat asalnya selepas bersara sebagai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sekitar 2017 ialah mengikuti kursus fertigasi cili.

“Pegawai pertanian yang menerima permohonan saya bertanya jika benar saya sanggup berpanas selepas melihat rekod saya sebagai pegawai sumber manusia di TLDM yang sudah pasti banyak berada dalam pejabat seharian.

“Selepas diterangkan dengan teliti, ternyata cendawan lebih sesuai kerana modalnya tidak terlalu tinggi, penjagaan yang mudah, hasil lebih cepat, tidak memerlukan kawasan yang besar selain pasaran yang sentiasa ada,” katanya.

Bapa kepada 4 orang anak berusia antara 16 hingga 7 tahun itu berkata, sebagai permulaan beliau membelanjakan RM1,000 untuk membeli 500 bongkah cendawan yang dipasarkan kepada penduduk berhampiran menerusi laman sosial termasuk WhatsApp.

Mengulas mengenai cendawan “warna-warni” yang menimbulkan keterujaan orang untuk lebih mengetahui mengenai tumbuhan itu, Ahmad Mokhtar berkata setiap cendawan itu bukan hanya berbeza dari segi warna, tetapi juga mempunyai tekstur tersendiri.

“Cendawan tiram paling popular sudah pasti berwarna kelabu yang sering ditemui manakala warna lain lebih kenyal dan mempunyai bau yang agak kuat. Tekstur yang kenyal menyebabkan ia sesuai dijadikan inti. Cendawan tiram kuning juga lebih lebat jambaknya namun kelopaknya lebih kecil berbanding yang lain.

“Malah, ada pembeli yang memborong cendawan tiram putih 100kg sebulan untuk dijadikan inti burger kerana daripada pengalamannya, tiram kelabu agak berair jadi kurang sesuai dijadikan pengganti,” katanya.

Mengenai penjagaan cendawan, Ahmad Mokhtar berkata bongkah cendawan yang mengandungi habuk kayu getah, kapur pertanian dan dedak padi yang dikukus selama 8 jam sebelum disuntik benih selepas direhatkan selama 2 hari hanya memerlukan rak untuk disusun selain kawasan yang lembab.

Katanya, bongkah cendawan tiram akan disusun secara “baring” boleh dijual pada harga RM16 sekilogram, manakala cendawan sisir yang perlu digantung boleh mencecah harga RM50 sekilogram.

“Bagaimanapun, rumah kedua-dua cendawan ini tidak boleh dicampurkan dan perlu dijarakkan sekurang-kurangnya 500m kerana spora cendawan sisir boleh merebak dan kuat sehingga boleh memusnahkan cendawan tiram.

“Begitu juga dengan cendawan tiram berwarna… benihnya tidak boleh dicampurkan dalam satu bongkah yang sama kerana hanya benih cendawan yang dominan akan menjadikan hanya satu warna yang tumbuh,” katanya.

Asam resam orang bertani, Ahmad Mokhtar mengakui beliau pernah terduduk apabila kerugian hampir RM100,000 pada 2018 apabila bongkah cendawan rosak akibat penyakit menyebabkan dia terpaksa memberhentikan 11 pekerjanya kerana tidak mampu membayar gaji.

Katanya, kebersihan antara faktor paling penting dalam penanaman cendawan dan beliau bersyukur usahanya semakin berjaya sehingga boleh mengupah 14 pekerja dengan separuh daripadanya adalah ibu tunggal pada masa kini.