Resort dakwa terima saman ibu bapa Nora Anne lebih awal

Ibu bapa Nora Anne memfailkan saman sivil terhadap The Dusun Resort. (Gambar Bernama)

SEREMBAN: The Dusun Resort akan mengeluarkan kenyataan rasmi tidak lama lagi mengenai tindakan keluarga Nora Anne Quoirin yang mengemukakan saman sivil terhadap operator resort itu yang merupakan lokasi kehilangan dan kematian remaja Ireland itu pada Ogos tahun lalu.

Pengarah The Dusun Resort, Haanim Bamadhaj ketika dihubungi berkata, pihaknya sedia maklum mengenai saman berkenaan sebelum ia dilaporkan pihak media.

“Ya, kami sedar dan kami telah menerimanya lebih awal, tetapi saya tidak boleh mendedahkan butiran mengenai bila kami menerimanya … dan pasukan undang-undang resort sedang meneliti saman yang difailkan oleh ibu bapa Nora Anne,” katanya.

Media semalam melaporkan ibu bapa kepada Nora Anne, Meabh Jaseprine Quoirin,45, dan Sebastian Marie Philipe,47, mengemukakan saman terhadap operator The Dusun Resort yang menjadi lokasi penginapan mereka ketika bercuti di Pantai, Seremban, Ogos tahun lalu.

Menerusi tuntutan itu, mereka mendakwa operator gagal memastikan keselamatan premis, tidak memasang kamera keselamatan dan tidak menyelenggara serta memastikan keupayaan selak pintu bilik diinap mereka.

Mereka diwakili peguam Sankara Nair dan saman sivil itu difailkan di Mahkamah Seksyen Seremban dengan pengurusan kes dilaporkan akan bermula pada 21 Januari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan SAC Che Zakaria Othman berkata mana-mana individu berhak untuk memfailkan saman sivil terhadap mana-mana pihak yang dirasakan wajar.

Mengenai laporan lengkap bedah siasat remaja Nora Anne, Che Zakaria berkata, laporan lengkap bedah siasat itu masih belum diperoleh.

Nora Anne berusia 15 tahun bersama keluarganya tiba di Malaysia untuk percutian selama 2 minggu dan mendaftar masuk di resort The Dusun Pantai Hill, Pantai, pada 3 Ogos, sehari sebelum remaja itu dilaporkan hilang pada awal pagi keesokannya.

Mayat remaja itu ditemukan pada 13 Ogos lepas, iaitu 10 hari selepas kehilangannya oleh pasukan sukarelawan yang menyertai operasi mencari dan menyelamat dalam keadaan tidak berpakaian berhampiran anak sungai di kawasan berlurah, sekitar 2.5km daripada eko-resort itu.

Laporan awal bedah siasat mendapati kematian Nora Anne, yang mengalami masalah pembelajaran, tidak mempunyai unsur jenayah dan remaja perempuan itu disahkan mati akibat kebocoran usus yang berpunca kerana tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan yang berpanjangan.