Bekalan air di Muar pulih selepas pencemaran ammonia

Jimmy Puah berkata, Sungai Muar yang merupakan sumber utama bekalan air dikesan mempunyai paras ammonia tinggi melebihi 2.5 PPM sejak 31 Dis lalu. (Gambar Bernama)

JOHOR BAHRU: Bekalan air untuk 35,000 isi rumah di Muar pulih sepenuhnya sejak petang semalam susulan pencemaran ammonia di Sungai Muar 5 hari lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti Johor, Jimmy Puah bagaimanapun berkata, kualiti air yang diterima masih dalam proses pemulihan oleh pihak operator Ranhill SAJ.

Katanya, ada pengguna menerima bekalan air agak keruh, tetapi ia menepati piawaian ditetapkan Kementerian Kesihatan.

“Ranhill SAJ sedang berusaha memastikan kualiti air lebih baik dan proses pemulihan kualiti air ini juga bergantung kepada kualiti semasa air mentah di sungai berkenaan,” katanya dalam kenyataan lewat malam tadi.

Puah berkata, pencemaran ammonia di sungai itu mula dikesan 31 Dis lalu yang dipercayai bermula dari kolam akhir takungan efluen milik industri tertentu di kawasan perindustrian Segamat II yang memasuki Sungai Kenawar, Sungai Chodan dan seterusnya ke Sungai Muar.

Katanya, ia menyebabkan pengeluaran air terawat di Loji Rawatan Air (LRA) Panchor 3 berkurangan sebanyak 20%, sekaligus mengakibatkan loji terbabit mengalami pengurangan bekalan air terawat dan tidak dapat memenuhi permintaan bekalan air semasa kawasan terlibat.

“Bekalan air ke kawasan Muar terjejas teruk bermula 1 Jan ekoran sungai berkenaan yang merupakan sumber utama bekalan air dikesan mempunyai paras ammonia tinggi, iaitu melebihi 2.5 PPM dan menyebabkan LRA Panchor 3 terpaksa meminimumkan operasi.”

Katanya, antara langkah diambil bagi mengurangkan kesan ammonia ialah melepaskan air mentah tambahan dari empangan Juaseh Segamat sebanyak 440 juta liter/sehari (MLD).

Beliau berkata, Ranhill SAJ turut menggerakkan 10 lori tangki air pada satu-satu masa bagi memberi bantuan air mengikut keutamaan lokasi terjejas.

Susulan itu, Puah berkata, Badan Kawal Selia Air Johor, Ranhill SAJ dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar akan menjalankan siasatan terperinci bagi memastikan punca pencemaran itu.

“Tindakan yang sangat tegas akan diambil kerajaan terhadap pelaku tidak bertanggungjawab mencemarkan sungai sehingga menyebabkan bekalan air terawat untuk rakyat terputus.”

Katanya, pengguna boleh menghubungi Ranhill SAJ untuk sebarang persoalan atau aduan berkaitan bekalan air di talian 1 800 88 7474 atau [email protected].