Dakwaan Khairy tak benar, Umno tak cadang pindaan Perlembagaan bagi MA63, kata menteri

Liew Vui Keong berkata, dakwaan Khairy Jamaluddin tidak benar kerana Jawatankuasa Kabinet Khas mencapai persetujuan berhubung 17 daripada 21 isu bagi melaksanakan MA63.

KUALA LUMPUR: Dakwaan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang pembangkang tidak mengundi pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan kerana ia “tidak bersubstantif” adalah tidak benar sama sekali, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong.

Beliau berkata, perkara itu tidak timbul kerana Jawatankuasa Kabinet Khas mencapai persetujuan berhubung 17 daripada 21 isu bagi melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Katanya, antara 17 isu itu termasuk persetujuan antara kerajaan persekutuan dan negeri mengenai beberapa perkara penting seperti kuasa pentadbiran Sabah ke atas Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan, duti eksport untuk hasil kayu dan hutan, kuasa kerajaan negeri berhubung kesihatan serta kawal selia bekalan elektrik dan gas.

“Empat isu yang baki pula dijangka diselesaikan Jawatankuasa Kabinet Khas pada awal 2020, maka tidak timbul sama sekali sebarang isu mengenai pindaan Perlembagaan ini tidak substantif seperti yang didakwa,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau merujuk laporan akhbar The Star bertajuk “Khairy: Umno, PAS abstained from voting on constitutional amendment for Sabah, Sarawak as they wanted more substance”.

Katanya, pada 9 April tahun lepas, 138 ahli Parlimen Pakatan Harapan, termasuk beberapa wakil rakyat bebas mengundi meluluskan pindaan itu, sebaliknya Khairy dan semua ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) serta 19 ahli Parlimen dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak mengundi pindaan itu di Dewan Rakyat.

Katanya, hanya 148 undi diperlukan untuk meluluskan pindaan Perlembagaan tersebut.

“Pada masa material sebelum mengundi, terdapat hanya satu permintaan daripada pihak pembangkang. GPS meminta agar 5 perkataan: ‘in accordance with the MA63’ dimasukkan ke dalam klausa utama dan bukannya di Nota Penjelasan.

“Pihak pembangkang tidak pernah melakukan sebarang usaha yang mulia bagi memastikan pindaan yang lebih substantif seperti yang dikatakan Khairy,” katanya.