Jho Low ingin pulang tetapi iklim politik belum sesuai

Low yang dikehendaki pihak berkuasa berkata hubungannya dengan kerabat Saudi memberi manfaat kepada kerajaan bekas perdana menteri Najib Razak. (Gambar Bloomberg)

PETALING JAYA: Ahli perniagaan yang dikehendaki, Low Taek Jho ingin pulang dan berdepan tuduhan-tuduhan berkaitan skandal 1MDB, hanya jika iklim politik sesuai.

“Saya menantikan hari di mana iklim politiknya buat saya rasa selamat untuk pulang dan kedaulatan undang-undang akan dihormati supaya fakta-fakta boleh dikemukakan, dan saya boleh mempertahankan diri,” kata Low kepada The Straits Times dalam temubual e-mel.

Akhbar Singapura itu memetik pembantunya berkata, temubual itu merupakan pertama kali Low membalas tanpa perantara firma perhubungan awam.

Low didakwa dalang dalam pencurian berbilion dolar dana 1MDB.

Pihak berkuasa AS memfailkan 30 tuntutan pelucuthakan terhadap hartanah, pelaburan, seni dan barang kemas bernilai AS$1.7 bilion yang dibeli Low dan rakan-rakan.

Keberadaan ahli perniagaan itu belum diketahui, dan Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador baru-baru ini kecewa pihak berkuasa asing enggan bekerjasama menangkapnya.

ST percaya Low berada di sebuah negara Eropah.

Dalam temubual itu, Low mendedahkan dia beberapa kali berdepan kanser, oleh itu dia mahu melabur dalam penyelidikan kanser terkini.

“Saya akan menghargai peluang untuk memulakan semula usaha bersifat dermawan dan menyumbang kepada masyarakat dan membantu orang lain dalam apa cara yang boleh,” katanya.

“Saya yakin apabila semuanya selesai, orang ramai akan berubah fikiran mereka terhadap bagaimana saya dipamerkan sekarang.”

Dia lebih meyakini sistem keadilan Amerika Syarikat di mana kedaulatan undang-undang dihormati dan seseorang dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.

Dia juga berpuas hati dengan beberapa penyelesaian yang dicapai dengan Jabatan Kehakiman AS.

Katanya, dia hanya “perantara” dalam transaksi melibatkan 1MDB kerana mempunyai hubungan baik dengan pembuat-pembuat keputusan yang berpengaruh, tetapi dikambing hitamkan kerana bukan seorang ahli politik.

“Hakikatnya saya sasaran mudah untuk orang-orang berkenaan memandangkan saya bukan seorang ahli politik,” katanya.

Dia juga mendakwa hubungannya dengan watak-watak berkuasa di Arab Saudi memberi manfaat kepada Malaysia, termasuk peningkatan peruntukan kuota haji.

“Dalam tempoh itu, hubungan Malaysia dengan Arab Saudi di paras tertinggi, berbanding keadaan sekarang. Ini terbukti dengan banyak mesyuarat dan perhubungan antara bekas perdana menteri Najib Razak dan raja Arab Saudi dan menteri kewangannya ketika itu,” katanya.

“Dalam satu peristiwa yang menunjukkan betapa kuatnya hubungan dengan Malaysia, kerajaan Saudi mengatur seorang utusan rasmi terbang ke Lapangan Terbang Subang untuk bersemuka dengan Najib di Malaysia.”