Keputusan mengenai MA63 dibuat 7 bulan selepas dibahas, kata Khairy

Khairy Jamaluddin menolak dakwaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong berhubung pindaan perlembagaan membabitkan tuntutan Sabah dan Sarawak.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin mendakwa Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong bermain politik sempit dengan cuba menutup kegagalan beliau meminda perlembagaan persekutuan berhubung status Sabah dan Sarawak.

Khairy menolak dakwaan Liew baru-baru ini bahawa 17 daripada 21 isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 telah dipersetujui oleh jawatankuasa khas Kabinet.

Khairy, yang merupakan bekas menteri belia dan sukan, adalah anggota “Kabinet bayangan” Barisan Nasional (BN) di Dewan Rakyat.

Beliau berkata, 4 bulan selepas cadangan pindaan tersebut dibawa ke Dewan Rakyat, hanya 7 daripada 21 tuntutan Sabah dan Sarawak dipersetujui oleh jawatankuasa khas Kabinet.

Persetujuan berhubung 17 isu yang disebut oleh Liew dalam kenyataan terbarunya hanya diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa khas itu pada 18 Nov, iaitu 7 bulan selepas Dewan Rakyat membahaskan pindaan perlembagaan tersebut, tetapi gagal mendapat sokongan 2/3 seperti diperlukan.

“(Kenyataan)nya juga adalah untuk menutup kegagalan beliau sebagai menteri yang bertanggungjawab ke atas pindaan perlembagaan persekutuan ini,” katanya.

Khairy berkata, Liew tidak harus mengetepikan fakta dan tidak bercakap benar hanya kerana Warisan “terlalu hendak menang” dalam pilihan raya kecil Kimanis pada 18 Jan depan.

“Banyak perkara telah disentuh oleh pembangkang sama ada sebelum, semasa atau selepas pembentangan pindaan perlembagaan persekutuan dibuat pada 9 Apr 2019,” katanya.

“Ini termasuklah meminta agar mesyuarat jawatankuasa khas Kabinet menyelesaikan rundingan berkenaan tuntutan Sabah dan Sarawak serta membawa cadangan pindaan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

Beliau berkata, kronologi itu menjadi bukti jelas bahawa ketika pembentangan pindaan perlembagaan dibuat pada Apr 2019, banyak perkara belum diputuskan dan masih dalam proses rundingan.

“Ini menjadi sebab utama pembangkang tidak menyokong pembentangan pindaan sebelum ini, sebaliknya meminta ia tidak dibuat secara tergesa-gesa sehinggalah semua perkara berbangkit diselesaikan,” katanya.