Jho Low pandai ‘pikat hati’ orang Melayu, kata Kadir

Ahli perniagaan buruan, Low Taek Jho.

PETALING JAYA: Wartawan veteran A Kadir Jasin mendakwa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low pandai memperalatkan jiwa orang Melayu dalam membina kekuatannya sebagai “orang pintar yang jahat”.

Beliau berkata Jho Low mampu membina kejayaannya pada usia 28 tahun dengan merapatkan diri dengan seorang raja Melayu, seterusnya dengan perdana menteri Melayu.

“Dia tahu majoriti orang Melayu amat setia kepada raja dan memandang tinggi orang Arab. Dia tahu dengan perkenan raja, lebih mudah baginya mendapat kerjasama pemimpin politik dan kakitangan awam Melayu.

“Maka itulah yang dia gunakan untuk membina kekuatannya sebagai ‘wheeler-dealer’. Dia mengabungkan daulat raja, kuasa politik dan pentadbiran Melayu dan duit Arab,” katanya menerusi catatan blog.

Kadir berkata dengan gabungan itu, Jho Low mengubah dirinya menjadi serigala dunia kewangan dengan mempergunakan anak tiri Najib Razak, Riza Aziz sebagai ayam tambatan untuk memikat hati Rosmah yang didakwanya sebagai “raja dalam rumahtangga” bekas perdana menteri itu.

“Maka dengan bantuan beberapa orang lelaki dan perempuan Melayu inilah, Jho Low muncul sebagai ‘brain’ di belakang tabung kemakmuran Terengganu Investment Authority (TIA) dan kemudian 1MDB.

“Dengan menggunakan 1MDB sebagai ‘front’ dan atas bantuan Najib serta beberapa orang birokrat Melayu, Jho Low meminjam berpuluh bilion ringgit kononnya untuk melabur dalam projek milik keluarga di raja Arab,” katanya.

Beliau menambah, antara keistimewaan Jho Low adalah beliau kenal semua orang Melayu yang berkuasa dan berjaya memperalatkan mereka.

“Dan inilah juga masalah dengan ramai orang Melayu yang berkuasa. Mereka tamak dan cair kerana duit. Kalau bukan mereka, anak, isteri dan suami mereka.

“Jho Low tidak teragak-agak memperalatkan semua mereka.”

Jho Low dituduh sebagai dalang transaksi wang haram yang disalurkan dari 1MDB, di mana Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat mendakwa sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion (RM18.9 bilion) disalahgunakan daripada dana pelaburan negara itu.

Bulan lalu, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata pihaknya kecewa apabila usaha untuk membawa Jho Low penghujung 2019 gagal disebabkan kurang kerjasama daripada pihak berkuasa negara luar.

Katanya, negara luar tidak ikhlas bekerjasama walaupun beliau sendiri sudah bertemu dan mengutuskan surat beberapa kali bagi meminta bantuan mengesan Jho Low.

Beliau juga yakin Jho Low kini mendapat perlindungan daripada pihak tertentu dan bebas bergerak selain boleh menjalankan perniagaan tanpa sebarang sekatan.