Shafie tak beri wang untuk beli undi di Kimanis, kata SPRM

Gambar menunjukkan Shafie Apdal memberi wang kepada orang awam tersebar di kumpulan WhatsApp BN PRK Kimanis. (Gambar Facebook)

BEAUFORT: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mendapati Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal tidak melakukan sebarang kesalahan selepas sekeping gambar beliau memberi wang kepada orang ramai tersebar di media sosial.

Pengarah SPRM Sabah, S Karunanithy berkata, siasatan dijalankan selepas pihaknya menerima maklumat orang awam yang Shafie memberi wang secara terbuka sempena Pilihan Raya Kecil Kimanis.

“Berdasarkan siasatan awal, SPRM Sabah mendapati kejadian tersebut sebenarnya berlaku pada 3 Jan 2020 di Sandakan sempena program pecah tanah pembesaran Lapangan Terbang Sandakan dan bukannya di Kimanis.

“SPRM Sabah juga mendapati kejadian itu merupakan program sedekah kepada orang ramai selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Datuk Pangeran Galpam di Sandakan yang disempurnakan ketua menteri Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Shafie dilaporkan berkata, gambar beliau memberi wang kepada orang awam tidak berlaku di Kimanis yang dalam tempoh berkempen.

Katanya, beliau memberi sumbangan kepada penduduk yang tinggal dekat masjid itu kerana mereka ialah golongan miskin dan bukannya pengundi di Kimanis.

Shafie menyifatkan dakwaan itu sebagai taktik kotor BN mencemarkan imejnya menjelang PRK Kimanis.

Katanya, sebagai ketua menteri Sabah, beliau tidak boleh berhenti menjalankan tugasnya hanya kerana PRK akan diadakan.