Diploma UK saya bukan palsu, kata calon Warisan

Karim Bujang berkata, beliau bukan penipu atau tukang pemalsu ijazah. (Gambar Bernama)

KIMANIS: Calon Warisan bagi Pilihan Raya Kecil Kimanis, Karim Bujang menafikan dakwaan diploma yang diperolehi dari sebuah universiti di United Kingdom adalah palsu.

Katanya, beliau mendapat diploma dalam bidang Pengajian Perniagaan yang setaraf ijazah itu selepas melanjutkan pelajaran selama 2 tahun di UK atas tajaan Perbadanan Ekonomi Sabah (Sedco).

“Saya diberi cuti belajar dengan gaji penuh pada 1977 dan 1978 oleh Sedco, memang ada salinan sijil, saya minta kita jangan gaduh, jangan tuduh saya memalsukan sijil.

“Sijil ini saya peroleh 40 tahun lepas, ada yang antara kamu belum lahir, jadi bila keluar di Facebook, anak saya terpanggil untuk buktikan bapa mereka ini bukanlah seorang penipu atau tukang pemalsu ijazah,” katanya di pusat mengundi daerah Batu 6 dekat sini, hari ini.

Sementara itu, Karim berkata, Barisan Nasional (BN) sengaja mempolitikkan cadangan pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS) dan menjadikannya bahan kempen pada PRK Kimanis, sedangkan idea itu datang daripada BN sendiri dan kajian dilakukan sewaktu parti pembangkang berkenaan memerintah negara.

“Namun ditakdirkan kerajaan BN kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14.”

Bagaimanapun, katanya, idea pelaksanaan PSS diteruskan kerana kerajaan negeri sedia ada pimpinan Warisan dengan kerjasama Pakatan Harapan melihat sebarang cadangan demi kebaikan akan cuba dilaksanakan walaupun idea asalnya datang daripada kerajaan negeri terdahulu.