Rakyat Malaysia di rantau Teluk diminta daftar diri di kedutaan terdekat

Wisma Putra menasihati rakyat Malaysia menangguhkan perjalanan yang tidak penting ke rantau Teluk dan negara Timur Tengah.

PUTRAJAYA: Menteri Luar Saifuddin Abdullah menasihatkan rakyat Malaysia yang tinggal atau dalam perjalanan ke Timur Tengah dan rantau Teluk supaya lebih berhati-hati dan mengambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan keselamatan mereka.

Beliau juga menggesa mereka yang masih belum mendaftar diri dengan misi diplomatik Malaysia supaya berbuat demikian di kedutaan terdekat atau konsulat jeneral Malaysia dengan segera, katanya.

“Pendaftaran boleh dilakukan menerusi emel,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat pasukan petugas belia mengenai hal ehwal luar dan diplomasi di Wisma Putra, semalam.

Berikutan misi diplomatik Malaysia yang tidak aktif di Iraq, Syria dan Yaman, Saifuddin berkata rakyat Malaysia yang tinggal, bekerja atau melancong di sekitar rantau itu perlu mendaftar dengan kedutaan-kedutaan berikut:

* Rakyat Malaysia di Iraq mendaftar dengan Kedutaan Malaysia di Amman, Jordan;

* Mereka yang berada di Syria, mendaftar dengan Kedutaan Malaysia di Beirut, Lubnan;

* Rakyat Malaysia di Yaman, mendaftar dengan Kedutaan Malaysia di Muscat, Oman.

Saifuddin juga menasihatkan rakyat Malaysia supaya menangguhkan perjalanan yang tidak penting ke rantau berkenaan.