Kesatuan olahraga digesa fokus bantu atlet lompat jauh layak ke Olimpik

Peluang terbaik untuk Andre Anura Anuar menempah tiket ke Tokyo ialah dengan jarak 8.22m atau secara ‘wildcard’. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dinasihat mengalihkan tumpuan untuk membantu atlet lompat jauh, Andre Anura Anuar layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Bekas presiden KOM, Karim Ibrahim berkata, pemenang pingat perak Sukan SEA Filipina 2019 dengan lompatan 8.02m yang memecahkan rekod kebangsaan berusia 12 tahun itu, ialah harapan terbaik KOM untuk diketengahkan ke Olimpik.

Katanya, KOM patut memfokuskan atlet terbaik, dengan Andre dan atlet lompat tinggi, Lee Hup Wei serta Nauraj Singh Randhawa mengetuai barisan atlet untuk layak ke Tokyo.

“Andre menghasilkan satu kesan hebat dan beliau merupakan atlet Malaysia pertama yang melompat sejauh itu.

“Sebagai perbandingan, anda tidak boleh mempertikaikan atlet lain juga memenangi pingat emas…ya mereka memang menang emas, tetapi jauh daripada catatan terbaik mereka. Andre melakukannya dengan bergaya untuk muncul sebagai insan pertama dari negara ini yang melompat sejauh itu.

“Beliau antara yang terbaik di rantau ini dan kami perlu mengambil kira lompat jauh sangat teknikal. Dengan kepakaran sains sukannya, latihan luar negara dan sokongan jurulatih asing, beliau boleh melangkah jauh,” kata Karim kepada Bernama.

Jarak kelayakan lompatan ditentukan World Athletics (dahulu dikenali sebagai Persekutuan Olahraga Antarabangsa, IAF). Untuk lelaki ialah 8.22m, dengan tempoh kelayakan berakhir pada 29 Jun ini.

Bagaimanapun, atlet berpeluang menempah tempat menerusi sistem ranking baru dunia dan kemasukan secara “wildcard” jika tiada seorang pun atlet layak menerusi merit dari negara masing-masing.

Namun, peluang terbaik untuk atlet dari Sabah itu menempah tiket ke Tokyo ialah dengan jarak 8.22m atau secara “wildcard” kerana beliau kini berada di ranking ke-120 dunia dengan 1,112 mata, 339 mata di belakang pendahulu dan pemenang pingat gangsa Kejohanan Dunia, Juan Miguel Echevarria dari Cuba.

Karim yang juga ahli Majlis Persatuan Olahraga Asia (AAA) berkata: “Kini hanya seorang atlet dari sebuah negara boleh mendapat tiket ‘wildcard’, tiada lagi pada asas seorang atlet lelaki dan seorang atlet wanita. Jadi KOM benar-benar perlu menghantar atlet terbaik jika tiada seorang pun yang layak berdasarkan merit.”

Andre terpaksa berpuas hati dengan pingat perak Sukan SEA tahun lalu dengan perbezaan minimal 0.01m, selepas atlet Indonesia, Sapwaturrahman merangkul emas dengan memecahkan rekod kejohanan menerusi lompatan 8.03m.

Rekod lompatan 7.87m sebelum ini dipegang atlet Filipina, Henry Dagmil di Sukan SEA Korat 2007 di Thailand.