Kementah sedang bincang aset ganti helikopter Nuri

Operasi 12 helikopter Nuri milik TUDM ditamatkan memandangkan kos penyelenggaraannya terlalu mahal. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan dalam proses perbincangan untuk mengenal pasti aset baru yang akan menggantikan helikopter Nuri milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang ditamatkan operasi.

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata perbincangan itu masih di peringkat kementerian dan apabila selesai, cadangan aset baru itu akan dibentang kepada Kabinet.

“Peruntukan kami (Kementerian Pertahanan) ada dan untuk peringkat awal, mungkin (operasi libatkan helikopter) akan dibuat dalam bentuk sewaan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Majlis Kerjasama Jualan Amal Yayasan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Chatime bersempena Kempen Tabung Pahlawan 2019, hari ini.

Selasa lalu, Panglima TUDM Ackbal Abdul Samad berkata operasi 12 helikopter Nuri milik TUDM ditamatkan memandangkan kos penyelenggaraannya terlalu mahal.

Menurut Ackbal, setakat ini beberapa jenis helikopter dikenal pasti untuk menggantikan Nuri sebagai tambahan kepada aset sedia ada.

Dalam pada itu, Mohamad berkata pembekal makanan dan minuman Chatime bersedia memberi peluang kepada veteran ATM membuka outlet di seluruh negara.

“Ini merupakan satu peluang terbaik kepada veteran dalam meneruskan kerjaya kedua selepas bersara daripada perkhidmatan ATM.

“Dana sebanyak RM20,000 juga akan disalurkan ke Tabung Pahlawan bagi setiap outlet baru yang dibuka oleh veteran ATM,” katanya.

Selain itu, beliau berkata pihak Chatime turut bersetuju menyumbang sebanyak 30 sen ke dalam Tabung Pahlawan bagi setiap cawan Chatime yang dijual di 39 outlet di seluruh negara bermula hari ini sehingga 29 Feb ini.