Mahkamah Agung India arah kaji semula haram internet di Kashmir

Para wartawan Kashmir membantah pengharaman internet di Srinagar yang berkuatkuasa sejak 5 Ogos lalu. (Gambar AP)

NEW DELHI: Mahkamah Agung India pada Jumaat mengarahkan agar semua sekatan, termasuk pengharaman penggunaan internet selama 5 bulan di Kashmir yang dikuasai India dikaji semula, lapor agensi berita Turki Anadolu.

Sekatan itu dikenakan pada 4 Ogos, sehari sebelum status istimewa wilayah itu dimansuhkan.

Mahkamah menyifatkan sekatan itu sebagai tidak mengikut perlembagaan dan memutuskan hak kepada internet adalah hak asas ketika mentafsirkan Perkara 19 (1) Perlembagaan India yang menjamin hak kebebasan bersuara dan memberikan pendapat.

Keputusan itu disampaikan panel hakim yang terdiri daripada NV Ramana, R Subhash Reddy, dan BR Gavai selepas mereka selesai mendengar pelbagai petisyen bagi mencabar pengharaman internet di wilayah tersebut pada 27 Nov tahun lepas.

Panel itu juga memutuskan kekangan sepenuhnya terhadap penggunaan internet perlu dikenakan hanya sebagai satu langkah luar biasa.

Penghakiman itu menyatakan arahan berulang bagi menggantung penggunaan internet adalah terjumlah kepada penyalahgunaan kuasa.

Editor akhbar harian berbahasa Inggeris Anuradha Bhasin adalah individu pertama yang membawa perkara itu ke mahkamah berhubung isu kekangan komunikasi dan pengharaman internet.

Kemudian pemimpin pembangkang di Dewan Negara Ghulam Nabi Azad turut memfailkan petisyen serupa yang mempertikai sekatan itu.

Badan perdagangan di Kashmir menganggarkan kerugian sebanyak AS$1.39 bilion yang terpaksa ditanggung oleh perniagaan dalam tempoh 100 hari pertama akibat pengharaman internet.