Tentera Rusia isytihar gencatan senjata di Idlib

Erdogan dan Putin mengeluarkan satu kenyataan bersama menggesa gencatan senjata pada Rabu. (Gambar AP)

MOSCOW: Tentera Rusia mengumumkan pada Khamis bahawa satu gencatan senjata telah bermula di Idlib, Syria, kubu utama penentang yang terakhir di negara itu, berikutan perjanjian antara Rusia dengan Turki.

Bermula 1100 GMT “satu gencatan senjata berjalan di zon penyuraian di Idlib,” kata Pusat Tentera Rusia bagi Perdamaian di Syria dalam satu kenyataan.

Walaupun satu gencatan senjata diumumkan pada Ogos 2019, rejim Syria yang disokong Rusia meningkatkan serangannya dalam beberapa minggu terakhir ke atas kubu pertahanan kumpulan penentang di Idlib, di barat daya Syria, terhadap pemberontak yang disokong oleh Ankara, sekali gus meningkatkan jumlah pelarian menghala ke Turki.

Pada Dis sahaja, kira-kira 284,000 melarikan diri daripada pengeboman dan serangan, terutama di selatan Idlib, menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Pengumuman pada Khamis dibuat sehari selepas presiden Rusia Vladimir Putin mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatnya dari Turki Recep Tayyip Erdogan di Istanbul.

Kedua pemimpin menggunakan satu kenyataan bersama menggesa satu gencatan senjata “yang disokong oleh semua langkah perlu yang akan diambil bagi menstabilkan keadaan di lapangan” di Libya.

Pada Selasa, Turki menggesa Rusia menghentikan serangan di Idlib dan menghormati gencatan senjata pada Ogos.

Peperangan yang berlaku di Syria telah mengorbankan lebih 380,000 orang dan mengakibatkan jutaan penduduk hilang tempat tinggal sejak ia bermula pada 2011.

Rusia melancarkan campur tangan tentera bagi menyokong rejim presiden Syria Bashar al-Assad pada 2015, dengan membantu tentera negara itu menguasai semula sebahagian besar wilayah daripada kumpulan penentang dan IS.