2 hanyut pada sambutan Hari Kanak-kanak di Thailand

Dua kanak-kanak lemas di pantai Narathat, Narathiwat ketika sambutan Hari Kanak-kanak Kebangsaan tahun lalu.

NARATHIWAT: Sambutan Hari Kanak-kanak Kebangsaan di Narathiwat hari ini bertukar tragedi apabila 2 kanak-kanak dikhuatiri lemas dalam 2 kejadian berasingan di pantai Narathat di sini.

Ketua Pejabat Daerah Mueang Narathiwat, Yahya Paknaha berkata, dalam kejadian pertama kira-kira 2 petang (waktu tempatan), 4 kanak-kanak berusia 6 hingga 10 tahun dihanyutkan arus ketika bermain di tepi pantai bersama keluarga.

Tetapi, katanya, 3 daripada mereka berjaya diselamatkan orang ramai, manakala seorang lagi kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun masih hilang.

“Berselang 30 minit kemudian, kami menerima satu lagi laporan, 6 kanak-kanak berusia 6 hingga 10 tahun dihanyutkan arus kira-kira 500m dari tempat kejadian pertama.

“Lima orang berjaya diselamatkan, manakala seorang kanak-kanak perempuan berusia 8 tahun masih hilang.”

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan.

Tahun lepas, 2 kanak-kanak juga lemas di pantai sama ketika sambutan Hari Kanak-kanak Kebangsaan.