Agensi keselamatan AS sertai siasatan pesawat Ukraine terhempas di Iran

Penerbangan PS 752 Ukrainian International Airlines terhempas pada Rabu berhampiran Tehran sejurus berlepas menyebabkan 176 orang terkorban. (Gambar AP)

WASHINGTON: Agensi keselamatan pengangkutan Amerika Syarikat mengumumkan bahawa ia menerima jemputan Tehran untuk menyertai siasatan berhubung nahas pesawat Ukraine yang terhempas di Iran, lapor agensi berita Rusia Sputnik.

“Pusat Operasi Respons Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Amerika Syarikat (NTSB) menerima pemberitahuan rasmi daripada Lembaga Siasatan Kemalangan Pesawat (AAIB) Pertubuhan Penerbangan Awam Iran berkaitan nahas penerbangan PS 752 Ukrainian International Airlines.

“NTSB telah melantik seorang wakil bertauliah dalam siasatan nahas itu, yang membabitkan sebuah pesawat jenis Boeing 737-800.

“AAIB Iran merupakan agensi penyiasatan utama dan segala soalan mengenai siasatan nahas itu perlu diajukan kepadanya,” menurut kenyataan agensi itu pada Khamis.

Pesawat itu terhempas pada Rabu berhampiran Tehran sejurus berlepas dan menyebabkan 176 orang terkorban.