Azmin hadiri majlis kesyukuran tiada pendakwaan kes video seks gay

Azmin Ali (kiri) ditemani Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari (tengah) membaca yasin di Masjid Jamek Al-Amaniah di Batu Caves malam ini.

GOMBAK: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali menghadiri majlis kesyukuran, tausiah dan doa selamat selepas Jabatan Peguam Negara memutuskan tidak mendakwa sesiapa pun dalam kes video seks sejenis yang menyasarkannya.

Beliau tiba di Masjid Jamek Al-Amaniah, Batu Caves, di sini pada 7.20 malam tadi dan majlis yang dihadiri kira-kira 500 orang itu dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah, bacaan yasin, tahlil dan doa kesyukuran.

Ia akan disusuli solat Isyak berjemaah dan majlis makan malam.

Turut hadir ialah ahli keluarga Azmin dan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Khamis lalu, Azmin bersyukur Jabatan Peguam Negara memutuskan tidak akan melakukan pendakwaan kerana gagal mengenal pasti individu terbabit dalam video seks sejenis itu yang tersebar pada Jun tahun lalu.

Sebahagian hadirin pada majlis kesyukuran dan doa selamat untuk Azmin Ali di Masjid Jamek Al-Amaniah, Batu Caves, malam ini.

Pada 12 Jun lalu, bekas ketua Pemuda PKR Bahagian Santubong, Haziq Aziz mengejutkan negara dengan mengakui beliau terbabit dalam video itu dan menamakan Azmin sebagai pasangannya, tetapi dinafikan Azmin.

Azmin dilaporkan berkata, beliau sejak awal lagi menegaskan video itu bertujuan memfitnahnya dan komplot jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

Timbalan presiden PKR itu mengajak semua pihak menghentikan politik fitnah, serangan peribadi dan caci-maki, sebaliknya terus menjayakan agenda untuk membina masyarakat lebih baik menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama.

Sementara itu, Azmin berkata, beliau tidak boleh mencampuri urusan pihak berkuasa dan Peguam Negara, Tommy Thomas berhubung gesaan untuk Haziq dikenakan tindakan kerana mengaku mengadakan hubungan seks sejenis dalam klip video itu.

Agki Parlimen Gombak itu bersyukur akhirnya kebenaran muncul susulan pengumuman Thomas pada Rabu lalu yang tiada individu akan didakwa.

“Saya secara peribadi ucapkan alhamdulillah atas pengumuman peguam negara.

“Sudah tentulah saya lalui tempoh yang agak panjang dan ujian getir ini. Alhamdulillah saya yakin ini adalah satu percaturan politik yang kejam, namun saya yakin dengan proses dijalankan dan khususnya peguam negara sebulat suara cadangkan tiada kes pertuduhan.”

Katanya, beliau kini menumpukan usaha ke atas penganjuran Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pada November nanti.

“Malaysia jadi tuan rumah APEC sebab itulah semua pimpinan negara bertungkus lumus siapkan yang terbaik.”

Khamis lalu, peguam Haniff Khatri Abdulla mempersoalkan keputusan Thomas tidak mendakwa seorang daripada lelaki mengaku terbabit dalam mengadakan hubungan seks sejenis dalam klip video yang tersebar tahun lalu.

Tanpa menamakan Haziq, beliau berkata, individu terbabit merakamkan pengakuan itu yang dimuat naik ke media sosial pada Jun tahun lalu dan menamakan pasangannya sebagai Azmin.

Katanya, tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 377A, 377B atau 377D Kanun Keseksaan kerana melakukan seks di luar tabii, serta Seksyen 120A, 499 dan 500 akta sama atas kesalahan jenayah konspirasi serta fitnah.

Beliau turut mempersoalkan jika individu yang merakam dan menyebarkan video seks itu akan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.