Dr M janji lepas jawatan menteri pendidikan sebaik dapat pengganti

Dr Mahathir Mohamad berkata, pihaknya sedang mengkaji jika Kementerian Pendidikan akan dipecahkan kepada Kementerian Pendidikan dan Pengajian Tinggi seperti yang dilakukan dahulu.

LANGKAWI: Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad berjanji akan segera melepaskan jawatan menteri pendidikan yang dipangkunya sebaik saja mendapat penggantinya.

Beliau berkata, jawatan itu hanya dipegangnya buat sementara waktu dan calonnya akan dilantik daripada kalangan ahli Parlimen PPBM juga.

“Bila dapat pilih satu orang untuk ambil alih (jawatan menteri pendidikan) akan lepas jawatan ni, cuma sementara saja,” katanya selepas majlis menyampaikan hadiah kepada pemenang Kejohanan Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi 2020, malam ini.

Semalam, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan Mahathir memangku jawatan itu berkuatkuasa 3 Jan lepas seperti diputuskan Kabinet dalam mesyuarat 8 Jan lalu.

Pada 2 Jan lepas, Maszlee Malik mengumumkan peletakan jawatan menteri pendidikan yang dipegangnya selama 20 bulan selepas mendapat nasihat Mahathir.

Sementara itu, ditanya adakah pelantikan menteri pendidikan baru itu memberi bayangan akan berlaku rombakan Kabinet dalam masa terdekat, beliau berkata, “Tidak tahulah mengenai rombakan Kabinet, tapi tentu ada menteri pendidikan yang baru.”

Mengenai kemungkinan akan ada menteri lain berhasrat melepaskan jawatan seperti Maszlee, beliau berkata, jika ada yang ingin berbuat demikian, pihaknya sedia menerimanya.

Sementara itu, Mahathir berkata, pihaknya sedang mengkaji jika Kementerian Pendidikan akan dipecahkan kepada Kementerian Pendidikan dan Pengajian Tinggi seperti yang dilakukan dahulu.