Kesahan penubuhan Jakim, majlis Islam kebangsaan dipersoal

Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysiaditubuhkan sebagai pihak berkuasa tertinggi kebangsaan untuk penyelarasan perkara-perkara pentadbiran Islam, sementara Jakim merupakan sekretariatnya. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kumpulan bekas penjawat awam kanan, G25 mendakwa kerajaan sudah melakukan sesuatu yang tidak mengikut perlembagaan apabila ia menubuhkan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Dalam kertas “Administration of Matters Pertaining to Islam”, kumpulan itu berkata, tiada peruntukan dalam perlembagaan untuk penubuhan badan-badan itu.

MKI ditubuhkan sebagai pihak berkuasa tertinggi kebangsaan untuk penyelarasan perkara-perkara pentadbiran Islam. Jakim merupakan sekretariat kepada MKI.

“Perkara-perkara berkaitan agama orang Islam dan adat Melayu adalah bidang kuasa eksklusif badan perundangan negeri dan majlis eksekutif negeri,” kata kertas G25.

Ia mengambil maklum pihak yang mendraf Perlembagaan Persekutuan ada mencadangkan bahawa Yang di-Pertuan Agong, selepas berunding dengan Majlis Raja-raja, dibolehkan menubuh suatu jabatan untuk menyelaras hal ehwal agama di peringkat persekutuan.

Tetapi cadangan itu tidak dimasukkan dalam dokumen akhir, katanya.

Kertas itu maklum kuasa-kuasa Majlis Raja-raja, yang dihadkan kepada perkara-perkara yang ditetapkan dalam Perkara 38 Perlembagaan, tidak termasuk menubuhkan sebuah agensi persekutuan seperti MKI atau Jakim.

“Bagaimanapun, kami menghargai tujuan menubuhkan MKI adalah untuk mempunyai suatu agensi persekutuan untuk menyelaras dan mengalakkan penyeragaman dalam pentadbiran undang-undang Islam dalam kalangan negeri.”

Perlembagaan perlu dipinda jika ada keperluan untuk suatu agensi seperti itu, katanya.

Namun, sekiranya MKI ditubuhkan secara sah di sisi undang-undang katanya, peranannya terbatas kepada menasihati negeri-negeri, yang tidak terpaksa mendengar nasihat itu.

G25 maklum bahawa Jakim, di samping berkhidmat sebagai sekretariat MKI, juga diamanahkan dengan fungsi-fungsi seperti kemajuan Islam dan kegiatan dakwah.

“Isi fungsi-fungsi itu, boleh dikatakan, melebihi kuasa eksekutif persekutuan (yang boleh dijalankan Kabinet), memandangkan kuasa eksekutif persekutuan tidak termasuk agama orang Islam kecuali di Wilayah Persekutuan sahaja.”

Kabinet mengamanahkan fungsi-fungsi khusus itu kepada Jakim dan oleh itu tidak konsisten dengan perlembagaan, tambahnya.

Kertas itu mengatakan semakan undang-undang mengenai kesahan fungsi-fungsi itu boleh menjelaskan lagi hal itu dan “berkepentingan awam, terutama memandangkan kebanyakan perbincangan mengenai MKI atau Jakim nampaknya tidak disediakan secara terbuka kepada orang ramai”.