Lebih baik henti operasi helikopter Nuri daripada hilang nyawa, kata penganalisis

Helikopter Nuri yang berusia lebih 50 tahun sebelum ini beberapa kali mengalami nahas, termasuk terhempas dan mendarat cemas sejak 1991. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Seorang penganalisis pertahanan menyifatkan keputusan panglima tentera udara Malaysia (TUDM) untuk menghentikan operasi helikopter Nuri daripada menyertai apa-apa misi sebagai keputusan tepat.

Pakar Kajian Strategik dan Anti Keganasan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Mohd Mizan Mohd Aslam berkata, nyawa anggota tentera udara negara lebih berharga memandangkan helikopter Nuri diibaratkan seperti bom jangka yang pada bila-bila masa sahaja boleh menggadai nyawa anggota.

“Ia tindakan tepat oleh panglima TUDM. Ini kerana nyawa anggota tentera kita sangat berharga. Selama ini helikopter Nuri ibarat bom jangka.

“Walaupun masih tidak ada pengganti untuk helikopter berkenaan, namun harus diingat bahawa usaha menggantikannya sudah dibuat oleh kerajaan dahulu.

Mohd Mizan Mohd Aslam.

“Namun tidak tahu di manakah silapnya sehinggakan helikopter berkenaan masih tidak sampai lagi hingga hari ini, sekali gus menjadi polemik antara kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

“Sebenarnya TUDM tidak ada pilihan lagi, ia perlu membuat keputusan antara nyawa anggota atau kedaulatan negara,” katanya kepada FMT.

Pesawat Nuri yang berusia lebih 50 tahun itu sebelum ini beberapa kali mengalami nahas, termasuk terhempas dan mendarat cemas sejak 1991.

Antaranya terhempas di Sintok Kedah pada 2010, di Tawau, Sabah dan Butterworth, Pulau Pinang (2016), di kawasan sempadan Terengganu-Pahang (2017) dan terbaru melakukan pendapatan cemas pada Ogos 2019 di Kem Gubir, Alor Setar.

Terdahulu Panglima TUDM Ackbal Abdul Samad berkata, helikopter Nuri miliknya terlalu uzur untuk digunakan, bahkan semua 12 helikopter Nuri yang masih ada dihentikan operasi dan tidak lagi menyertai apa-apa misi.

Mohd Mizan bekata, walaupun tidak menggunakan helikopter Nuri, tentera udara negara masih mempunyai aset pertahanan udara yang lain untuk menjaga keselamatan dan kedaulatan ruang udara daripada diceroboh pihak asing.

“Malaysia selesa dengan sikap berkecuali dan tidak berkonfrontasi dengan mana-mana negara. Kita rasa selesa dan aman, kita bukan dalam keadaan yang memerlukan pesawat canggih dengan segera. Ancaman keselamatan udara bukanlah perkara besar buat masa ini,” katanya.

Penganalisis pertahanan Zaki Salleh.

Seorang lagi penganalisis pertahanan, Zaki Salleh berkata, selain helikopter Nuri, tentera udara turut memiliki pesawat Eurocopter EC725, yang menurutnya boleh menjalankan dan mengambil alih tugas helikopter Nuri.

“Sekarang ini, banyak operasi penerbangan ihsan misalnya membawa pesakit dilakukan dengan pesawat Eurocopter EC725.

“Pesawat jenis ini dibeli oleh kerajaan sebelum ini pada 2007 untuk menggantikan Nuri, tetapi kita hanya beli 12 buah dan tidak ada pembelian tambahan,” katanya.

Tambah Zaki, tentera juga boleh menggunakan kaedah skim sewaan yang merupakan satu pilihan jangka masa pendak, iaitu menyewa helikopter daripada firma tertentu pada tempoh tertentu.

“Skim sewaan ini adalah antara pilihan yang banyak ditawarkan firma kepada pembeli yang pilih pesawat buatan mereka.

“Sementara hendak tunggu helikopter baru, mereka boleh sewa helikopter jenis yang sama sehingga tempahan helikopter itu siap,” katanya.