Rakaman audio: Wanita Umno mahu ketua pesuruhjaya SPRM diganti

Ketua Wanita Umno Noraini Ahmad berkata, SPRM merupakan badan berkecuali dan tidak sepatutnya ada campur tangan politik yang mengundang rasa tidak percaya rakyat kepada badan ini.

PETALING JAYA: Wanita Umno hari ini mendesak ketua pesuruhjaya SuruhanJaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diganti berikutan kegagalan ketua sedia ada agensi tersebut menjalankan amanah yang diberikan.

Ketuanya Noraini Ahmad berkata, tindakan ketua pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya mendedahkan rakaman audio kononnya konspirasi jenayah membabitkan 7 individu, termasuk bekas perdana menteri Najib Razak adalah sesuatu yang tidak dapat diterima.

“Tindakan ini sekali gus mencalar imej SPRM yang penuh berintegriti. Apakah tidak ada seorang pun individu yang bertauliah bagi menasihati ketua mereka yang jelas telah dipengaruhi oleh kuasa politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, SPRM merupakan badan berkecuali dan tidak sepatutnya ada campur tangan politik yang mengundang rasa tidak percaya rakyat kepada badan ini.

Beliau seterusnya menyarankan agar Latheefa mengkaji dan memahami Akta SPRM sebelum membuat sesuatu perkara yang akan menyebabkan badan itu dikecam oleh rakyat.

Pada Rabu, SPRM mendedahkan rakaman audio dikatakan antara Najib dan 7 lagi individu yang melibatkan 1MDB dan SRC International.

Latheefa memainkan rakaman itu pada satu sidang media di ibu pejabat SPRM di hadapan lebih 50 wartawan.

Beliau berkata, rakaman itu adalah antara Najib, pegawai kerajaan dan 2 individu dari Emiriah Arab Bersatu yang menunjukkan seperti ada konspirasi untuk memanipulasikan maklumat.

“Kita baru terima rakaman audio ini,” katanya kepada pemberita selepas pendengaran rakaman itu, tanpa mendedahkan sumber rakaman itu, yang diterima beberapa hari selepas tahun baru 2020.

Latheefa juga berkata, terdapat 9 rakaman percakapan melibatkan 8 individu dan pihaknya akan menyerahkan bahan itu kepada polis untuk siasatan lanjut.

Audio berkenaan dikatakan merupakan rakaman panggilan telefon antara 5 Jan 2016 hingga 29 Jul 2016.

Dalam pada itu Noraini berkata, tindakan Latheefa bukan sahaja memalukan SPRM, tetapi juga merosakkan hubungan baik antara Malaysia dan UAE.