Rakyat Taiwan mengundi hari ini

Lebih 19.31 juta pengundi berdaftar akan mengundi di 22 bandar dan daerah, hampir 70% daripadanya datang dari 6 majlis perbandaran khas, iaitu Taipei, New Taipei,Taoyuan, Taichung, Tainan dan Kaohsiung. (Gambar AP)

TAIPEI: Pilihan raya Taiwan bermula pada Sabtu dan keputusan paling awal dijangka diketahui beberapa jam selepas pusat pengundian ditutup pada 4 petang, lapor Agensi Berita Pusat Taiwan (CNA).

Lebih 19.31 juta pengundi berdaftar akan mengundi di 22 bandar dan daerah, hampir 70% daripadanya datang dari 6 majlis perbandaran khas, iaitu Taipei, New Taipei,Taoyuan, Taichung, Tainan dan Kaohsiung, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat (CEC).

Seramai 1.18 juta pengundi berumur antara 20 hingga 23 tahun menyumbang sebanyak 6% undi dan pertama kali mengundi, kata CEC.

Sejumlah 17,226 pusat pengundian dibuka di seluruh Taiwan bermula 8 pagi hingga 4 petang. Sejurus pusat pengundian ditutup kertas undi akan dikira dan dimaklumkan kepada pihak berkuasa pilihan raya pusat dan tempatan.

Presiden Tsai Ing-wen dari parti yang memerintah, Parti Progresif Demokratik (DPP) dicabar Han Kuo-yu dari parti pembangkang utama, Kuomintang (KMT) dan James Soong, pengerusi Parti People First (PFP).

Dalam pilihan raya presiden 2016, Tsai menang mudah dengan mendapat 56.12% undi berbanding Eric Chu dari KMT yang berkuasa ketika itu, hanya memperoleh 31.04% dan Soong 12.84%.

Jumlah keluar mengundi sebanyak 66.27%, terendah pernah dicatatkan dalam 6 pilihan raya presiden sejak 1996.

Dalam merebut kerusi Parlimen, DPP buat pertama kali meraih majoriti dengan memenangi 68 kerusi. KMT memperoleh 35 kerusi diikuti Parti New Power dengan 5 kerusi dan Parti People First 2 kerusi.

Tahun ini seramai 650 calon dari 43 parti akan bersaing merebut 113 kerusi, menurut CEC.

Presiden baru yang dipilih akan mengangkat sumpah jawatan pada 20 Mei, manakala anggota Parlimen pada 1 Feb.