Ringgit dijangka diniaga berhati-hati minggu depan

Ulasan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengenai ekonomi semasa dijangka memberi sokongan kepada mata wang tempatan.

KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka diniagakan berhati-hati minggu depan sejajar dengan mata wang negara sedang pesat membangun lain, didorong oleh beberapa perkembangan penggerak pasaran, termasuk jangkaan permeteraian fasa pertama perjanjian perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China, kata para peniaga.

Penganalisis pasaran FXTM Han Tan berkata, dolar AS dijangka kekal kukuh minggu depan mendapat rangsangan daripada jangkaan pengumuman senarai gaji bukan ladang Disember yang lebih baik.

“Indeks Dolar AS (DXY) kini meningkat 1% setakat ini pada 2020, diniagakan melepasi paras 97.4 menjelang pengumuman senarai gaji bukan ladang bagi Dis.

“Kejutan positif dalam keseluruhan NFP, pertumbuhan gaji atau bacaan purata setiap jam boleh menyaksikan Indeks Dolar ditutup pada purata penggerak 200-hari pada 97.706 dan mengehadkan aliran menurunnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun beliau berkata, memandangkan DXY mencatatkan paras rendah sejak Oktober, dolar AS dijangka terus menyederhana, selagi sentimen risko kekal tanpa gangguan dan Rizab Persekutuan AS mengekalkan kadar faedah.

Jumaat minggu lepas, Washington melancarkan serangan udara berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Baghad yang meragut nyawa komander tentera Iran Qasem Soleimani.

Susulan itu, Iran bertindak balas dengan melancarkan beberapa serangan peluru berpandu terhadap pangkalan tentera AS di Iraq pada Selasa.

Di dalam negara, ulasan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengenai ekonomi semasa dijangka memberi sokongan kepada mata wang tempatan.

Dalam catatan di blog beliau yang bertajuk ”Kerajaan Pakatan Harapan” pada Jumaat, Mahathir berkata, ekonomi Malaysia masih berkembang pada kadar pertumbuhan yang baik dengan pelaksanaan pelbagai program untuk meningkatkan lagi ekonomi.

“Hakikatnya ekonomi Malaysia dan mata wangnya adalah kukuh. Pasaran dan pengkritik mungkin tidak fikir begitu. Bagaimanapun kerajaan mempunyai keyakinan dalam dasar kewangan dan ekonominya. Begitu juga pelabur asing dan tempatan,” kata perdana menteri.

Bagi minggu yang baru berakhir ini ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS pada 4.0750/0780 berbanding 4.1005/1035 pada Jumaat minggu sebelumnya.

Berbanding mata wang utama lain, ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Singapura pada 3.0194/0219 daripada 3.0363/0401 minggu sebelumnya, naik berbanding pound Britain kepada 5.3244/3299 daripada 5.3577/3637 dan mengukuh berbanding euro kepada 4.5216/5254 daripada 4.5675/5717.

Sementara itu, ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.7160/7198 daripada 3.7936/7974 pada Jumaat minggu sebelumnya.