Saya tidak maklum Jeffrey tidak dibenar masuk, kata Abang Johari

Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg berkata, beliau akan memeriksa sekiranya benar Jeffrey Kitingan tidak dibenar masuk ke negeri itu.

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg berkata, beliau tidak maklum bahawa ahli Parlimen Keningau Jeffrey Kitingan tidak dibenarkan masuk ke negeri itu buat kali kedua.

“Saya tidak maklum. Saya akan periksa mengenainya,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran sambutan tahun baru dan ulang tahun ke-65 Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) di sini, malam tadi.

Terdahulu dilaporkan bahawa kerajaan negeri menolak permohonan Jeffrey bagi mendapatkan satu pas masuk khas untuk mempengerusikan mesyuarat Organisasi Dayak Antarabangsa di Kuching petang semalam.

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku itu juga dijadualkan mengambil bahagian dalam satu forum yang dianjurkan oleh Movement for Change Sarawak (MoCHS) semalam.

Jeffrey berkata, walaupun belau menghormati kuasa imigresen negeri Sarawak, namun kecewa dengan Abang Johari yang bercakap tentang hak Sabah dan Sarawak, hatta sebelum menjadi ketua menteri lagi.

“Saya tidak pernah berdepan masalah ini di bawah ketua menteri sebelum ini, khasnya Taib Mahmud dan arwah Adenan Satem,” katanya.

Jurucakap Badan Bertindak Hak Dayak (DRAF) Bobby William juga mempersoalkan keputusan Kuching tidak membenarkan Jeffrey masuk ke Sarawak.

“Apakah motifnya? Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sepatutnya lebih terbuka kepada mereka yang berasal dari kepulauan Borneo.

“Jeffrey pergi ke Sarawak mewakili suara komuniti Dayak Borneo. Dia bukan pengganas. Tidak masuk akal kerajaan Sarawak menghalangnya masuk.

“Sarawak mungkin berbangga dengan autonomi imigresennya, tetapi ia tidak harus disalah guna,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri sebaliknya harus mengharamkan pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang memperkecilkan Sarawak dan rakyatnya.

Laporan mendakwa, Jeffrey dilarang memasuki Sarawak sejak Feb 2017. Beliau mengetahui tentangnya sebulan kemudian apabila cuba memasuki negeri itu bagi mempengerusikan satu mesyuarat Forum Dayak Borneo.

Bagaimanapun pada Sept tahun lepas, beliau dibenar masuk selama 3 hari bagi menghadiri pertemuan dengan Abang Johari, yang menyaksikan mereka berbincang tentang hak Sabah dan Sarawak.