Dedah rakaman audio tidak halang hubungan dengan UAE, kata penganalisis

Ketua pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya mendedahkan 9 rakaman audio berkait 1MDB dan SRC International pada Rabu.

PETALING JAYA: Hubungan diplomatik dengan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dijangka tidak terkesan berikutan pendedahan satu rakaman perbualan telefon dikatakan melibatkan Putera Mahkota Sheikh Mohammed Zayed Al-Nahyan, kata 2 penganalisis politik.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan rakaman audio terbabit yang menurutnya adalah perbualan telefon antara bekas perdana menteri Najib Razak dengan Sheikh Mohammed Zayed, yang merupakan putera mahkota Abu Dhabi dan pemerintah tertinggi angkatan tentera UAE.

Yeah Kim Leng, profesor ekonomi di Universiti Sunway berkata, beliau tidak mejangka hubungan diplomatik dengan Abu Dhabi terancam oleh rakaman audio itu.

Katanya, kedua-dua negara harus melangkah ke depan dengan mengabaikan perkara itu.

Yeah Kim Leng.

“Walaupun rakaman itu berkemungkinan menimbulkan rasa tidak senang kepimpinan UAE, namun ia tidak akan menyebabkan hubungan antara kerajaan merosot.

“Paling baik, kedua-dua negara harus mengabaikan perkara memalukan itu dengan membetulkan kesilapan lampau dengan cermat dan segera,” katanya kepada FMT.

Pakar geostrategi di Universiti Teknologi Malaysia, Azmi Hassan berkata, isu itu memberi gambaran seolah-olah kerajaan tidak sensitif dalam mengendalikan hubungan diplomatik kerana SPRM merupakan sebuah agensi kerajaan.

“Tindakan SPRM menyerupai pembocoran perbualan telefon antara presiden AS Donald Trump dengan presiden Mexico Enrique Nieto, atau Trump dengan bekas perdana menteri Australia Malcolm Turnbull, yang memalukan semua pihak.

“Namun begitu, perbualan telefon Trump dibuat oleh pihak luar, sementara dalam kes SPRM, ia dibuat secara terbuka oleh sebuah agensi kerajaan,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, keadaan itu boleh memberi gambaran bahawa pendedahan tersebut dibenarkan oleh kerajaan, dengan menambah Abu Dhabi tidak boleh dipersalahkan sekiranya ia berfikir bahawa Putrajaya mahu memalukan mereka.

Azmi Hassan.

Azmi bagaimanapun berkata, beliau menjangka UAE akan “mengabaikan keadaan yang serba salah itu”.

Katanya, beliau tidak terlalu bimbang sekiranya Putrajaya dianggap “amatur atau tidak bijak” dalam mengendalikan hubungan luarnya, selagi ia tidak membawa kepada “akibat punitif”.

Sembilan rakaman audio didedahkan awal minggu ini yang didakwa melibatkan Najib dan isterinya Rosmah Mansor; pendakwa raya kerajaan, Dzulkifli Ahmad, yang kemudiannya dilantik sebagai ketua pesuruhjaya SPRM; dan Sheikh Mohammed Zayed.

SPRM berkata, individu lain terlibat termasuklah bekas peguam negara Abdul Gani Patail dan Mohamed Apandi Ali; ahli Parlimen Baling, Abdul Azeez Rahim; pengarah urusan Ihsan Perdana, Shamsul Anwar Sulaiman; bekas pengarah SRC International Suboh Md Yassin, Abdul Aziz Ismail, Nik Faisal Ariff Kamil dan “Tan Sri Shukri”.

Perbualan itu juga menyebut nama presiden UAE Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan, pengerusi IPIC Sheikh Mansour bin Zayed Al Nahyan dan ketua pegawai eksekutif Mubadala Development Company, Khaldoon Al-Mubarak.

Sheikh Mansour dan Khaldoon mengetuai syarikat yang berurusan dengan 1Malaysia Development Bhd yang dilanda skandal kewangan.

Pendedahan rakaman audio itu menyebabkan timbalan presiden Umno Mohamad Hasan memberi amaran bahawa ia boleh memberi kesan ke atas hubungan diplomatik antara 2 negara terbabit kerana percakapan dengan pemimpin asing adalah rahsia.

Selain itu katanya, perbuatan mendedahkan perbualan tanpa melalui proses undang-undang yang sah adalah satu kesalahan.