Hanya IMM13 dokumen sah, yang lain tidak boleh diterima di Sabah, kata PBS

Pemimpin PBS Maximus Ongkili memberikan limau mandarin kepada pengunjung di kawasan pasar Lido di Kota Kinabalu hari ini.

KOTA KINABALU: Pemimpin PBS Maximus Ongkili mahu pengundi di Kimanis mengambil sikap dan menafikan kemenangan calon Warisan dalam pilihan raya kecil di situ sebagai isyarat bahawa mereka menolak Pas sementara Sabah (PSS).

Beliau berkata, PSS merupakan satu ancaman keselamatan terhadap rakyat Sabah, selain ancaman ke atas kehidupan mereka kerana pendatang asing ini akan dibenarkan bekerja, berniaga dan bergerak dengan bebas.

Ongkili berkata, satu-satunya kumpulan pendatang yang layak diberikan perhatian adalah pemegang dokumen IMM13 kerana ia diiktiraf di bawah Akta Imigresen.

“Terdapat kira-kira 65,000 pemegang IMM13 di Sabah, tidak termasuk ahli keluarga mereka.

“IMM13 adalah satu-satunya dokumen yang diiktiraf oleh Jabatan Imigresen, sementara Surat Burung-burung dan sijil banci bukanlah dokumen perjalanan atau imigresen yang sah.

“Kesemua yang lain ini harus ditahan dan dihantar pulang kerana mereka tidak berhak berada di sini.

“Dokumen ini juga tidak membenarkan mereka bekerja atau tinggal di sini kerana ia hanyalah kertas banci,” kata Ongkili semasa mengadakan tinjauan di Lido, di sini, hari ini.

Isu PSS menjadi perbahasan hangat antara Umno dan Warisan, 2 parti yang bersaing untuk merebut kerusi Parlimen Kimanis pada 18 Jan ini.

Rancangan Kementerian Dalam Negeri adalah untuk mengeluarkan PSS sebagai kad pengenalan tunggal bagi menggantikan IMM13, Surat Burung-burung dan surat banci.

Kementerian berkenaan menganggarkan PSS mungkin diberikan kepada 600,000 orang, sekiranya anggota keluarga diambil kira.

Bekas menteri kerajaan persekutuan itu berkata, Putrajaya harus menghantar pulang pendatang yang tidak memiliki IMM13 atau membenarkan mereka memasuki Sabah hanya jika memiliki pasport yang sah.

Katanya, hanya apabila mereka berada di negara ini secara sah, mereka dibenarkan memohon permit pekerjaan.

Ongkili berkata, di bawah PSS, tempoh pembaharuan 3 tahun akan membolehkan pendatang bergerak bebas tanpa sekatan ke seluruh Sabah.

“Mereka boleh mencari kerja atau berniaga di kawasan seperti Kimanis, Kota Marudu, Nabawan dan sebagainya.

“Mereka akan menjadi ancaman langsung terhadap kehidupan rakyat tempatan dan komuniti pribumi,” kata Ongkili.

Beliau juga menolak dakwaan Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin semalam bahawa PSS diluluskan semasa pemerintahan Barisan Nasional (BN) dan ia tidak dapat melaksanakan idea itu kerana tewas dalam pilihan raya umum ke-14 Mei tahun lepas.

Katanya, Pairin Kitingan, yang mempengerusikan jawatankuasa teknikal Pengurusan Pendatang Tanpa Izin ke Sabah tidak mempunyai kuasa untuk memberikan kelulusan.

Beliau berkata, jawatankuasa induk, yang dipengerusikan bersama oleh bekas menteri dalam negeri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas ketua menteri Sabah Musa Aman, maupun Kabinet persekutuan pada masa itu, tidak pernah meluluskan pelaksanaan PSS.

“Dakwaan kerajaan hari ini adalah mengarut. Hakikatnya, ia adalah cara mereka untuk membantu pendatang di Sabah, bukan rakyat negeri ini,” katanya.