India hadkan minyak sawit Malaysia hanya khabar angin, kata menteri

Minyak sawit penting untuk ekonomi Malaysia kerana ia menyumbang 2.8% kepada KDNK dan 4.5% daripada jumlah eksport negara.

PETALING JAYA: Menteri Industri Utama, Teresa Kok menepis laporan India melaksanakan sekatan ke atas pengimportan minyak sawit bertapis dari Malaysia kerana ia sekadar “khabar angin”.

Ini susulan laporan Kementerian Perdagangan dan Industri India mengumumkan pengimportan minyak sawit bertapis “sudah dipinda daripada ‘bebas’ kepada ‘terhad'”.

Kok mengesahkan kewujudan memo itu, tetapi berkata, pemberitahuan itu tidak menyebut secara jelas minyak sawit bertapis Malaysia.

“Sekali lagi, ini bukan dari kerajaan, tetapi hanya khabar angin.

“Ia adalah pemberitahuan umum saja,” katanya kepada FMT.

Pada 8 Jan lalu, India dilaporkan mengenakan sekatan ke atas pengimportan minyak sawit bertapis dan olein sawit, yang dilihat sebagai tindakan balas kepada Malaysia selepas mengkritik tindakan ketenteraan India di Kashmir dan undang-undang kewarganegaraan barunya.

Sumber kerajaan dan industri India memberitahu Reuters, kerajaan Perdana Menteri Narendra Modi berhasrat menyasarkan Malaysia susulan kritikan Dr Mahathir Mohamad terhadap negara itu baru-baru ini.

September lalu, Mahathir dilaporkan berkata, Jammu dan Kashmir “diceroboh dan diduduki” India, oleh itu beliau meminta New Delhi bekerjasama dengan Pakistan menyelesaikan isu berkenaan.

Bulan lalu, Mahathir berkata, beliau kecewa dengan India yang mengaku ialah negara sekular, tetapi menafikan kewarganegaraan untuk umat Islam walaupun berdepan bantahan rakyat.

Minyak sawit penting untuk ekonomi Malaysia kerana ia menyumbang 2.8% kepada keluaran dalam negara kasar dan 4.5% daripada jumlah eksport negara.

Semalam, Kok dilaporkan berkata, Pakistan antara pembeli biasa dan paling boleh dipercayai untuk minyak sawit Malaysia kerana komoditi itu mempunyai potensi lebih besar dieksport ke Pakistan.