Itu pendapat mereka, tak perlu siasat G25, kata bekas mufti Terengganu

Ismail Yahya (kanan) berucap dalam forum ‘Islam perlu dibela’ di Gerak Budaya hari ini.

PETALING JAYA: Bekas mufti Terengganu, Ismail Yahya berkata pihak berkuasa tidak perlu menyiasat G25 kerana itu hanyalah pendapat mereka, selepas sebuah NGO Islam menggesa tindakan diambil ke atas kumpulan bekas penjawat awam kanan itu yang mengkritik dan mempersoalkan kedudukan Islam di negara ini.

“Tidak, ini pendapat satu-satu organisasi, tidak perlu cari kesalahan. Tengok apa pendapat mereka, mana yang baik terima dan tolak yang buruk.

“Kita banyak sangat menghukum, orang yang nak beri cerita sebenar pun sampai takut dia dilabelkan sebagai sesat dan liberal,” katanya dalam forum “Islam perlu dibela” di Gerak Budaya hari ini.

Terdahulu, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia menggesa pihak berkuasa menyiasat G25 sama ada ia melanggar undang-undang kerana mempersoalkan kewujudan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta undang-undang murtad.

Ia mendakwa G25 cuba mempolemikkan isu Islam dan bidang kuasa agensi Islam di peringkat persekutuan serta negeri untuk mengecilkan peranan Islam hanya sebagai urusan peribadi.

Katanya, kenyataan sensitif dan berbahaya G25 boleh menimbulkan kekeliruan serta kemarahan umat Islam kerana mendakwa ia cuba menafsir Perlembagaan mengikut fahaman sekular, iaitu kedudukan Islam sama dengan agama lain.

Semalam, G25 menerusi kertas “Administration of Matters Pertaining to Islam” mendakwa kerajaan bertindak tidak mengikut Perlembagaan kerana tiada peruntukan dalam Perlembagaan untuk penubuhan MKI dan Jakim.

G25 turut dilaporkan mengkritik undang-undang murtad dengan berkata, keputusan seseorang umat Islam keluar dari agamanya ialah urusan antara individu itu dengan Tuhan.

Katanya, pelbagai undang-undang di bawah kerajaan negeri yang menghukum individu murtad sama ada melalui denda, penjara atau pemulihan tidak konsisten dengan Perlembagaan yang menjamin kebebasan beragama.

Ismail berkata, Jakim sepatutnya tampil membuat penjelasan atau melakukan sesuatu bagi menangkis dakwaan ia tidak berperlembagaan.

“Bila tidak disahkan penubuhan, memang orang akan kritik dan hentam.

“Peruntukan kepada badan itu terlalu banyak sampai ratusan juta setahun.”

Katanya, tidak timbul isu mengenai kritikan G25 terhadap undang-undang murtad kerana Mahkamah Syariah mempunyai kuasa untuk menghukum umat Islam yang meninggalkan agamanya.

“Mahkamah itu boleh mengisytiharkan seseorang itu keluar Islam, tidak ada masalah. Tidak timbul isu, memang banyak kes murtad. Masyarakat tinggalkan Islam.”

Pendidikan agama

Ismail bersetuju pendidikan Islam diseragam dan diserahkan kepada kerajaan pusat untuk mengawalnya.

“Bagi saya, kita kena tengok sejarah, sejarah dahulu pengajian agama di bawah negeri dan kerajaan pusat ambil jadikan pengajian Islam. Cantik ada sistem itu. Dulu negeri buat hal masing-masing.

“Kalau untuk keseragaman, negara kita kecil saja dan mobiliti masyarakat juga kencang. Kalau nak seragam, serah kepada kerajaan pusat.”