Kento Momota juarai Malaysia Masters selepas pertarungan sengit

Kento Momota dan Viktor Axelsen bergambar bersama selepas majlis penyampaian pingat bagi kategori perseorangan lelaki Malaysia Masters 2020 di Axiata Arena hari ini. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Pemain nombor satu dunia, Kento Momota terpaksa bertarung sengit dalam set pertama ketika bertemu Viktor Axelsen dari Denmark sebelum berjaya bergelar juara perseorangan lelaki Malaysia Masters 2020 di Axiata Arena hari ini.

Pemain dari Jepun itu mengambil sejam untuk menumpaskan Axelsen yang menduduki ranking ke-5 dunia dengan keputusan 24-22, 21-11.

“Ini kejohanan yang pertama tahun ini, jadi saya terpaksa beri tumpuan sepenuhnya pada kejohanan ini. Ia memang amat sukar bagi kejohanan ini kerana keadaan badan saya tidak sempurna.

“Saya tidak menyatakan yang saya paling kuat hingga membolehkan saya menewaskan semua orang. Walaupun dalam keadaan tidak sempurna, tetapi deria saya lebih tajam dalam menyerang dan memungut mata.

“Walaupun lawan mendapat mata, saya biarkan saja dan terus tumpu untuk mata berikutnya. Perkara begitu adalah perbezaan antara saya dan pemain lain,” katanya selepas perlawanan itu.

Pada edisi Malaysia Masters sebelum ini, Momota tersingkir pada pusingan pembukaan selepas tewas kepada rakan senegara, Kenta Nishimoto.

Pemain wanita nombor satu dunia, Chen Yu Fei dari China menjuarai menewaskan pemain nombor 2 dunia, Tai Tzu Ying dari Taiwan dengan 21-17, 21-10 dalam permainan singkat selama 37 minit.

Beregu wanita dari China, Li Wen Mei-Zheng Yu (ranking ke-10 dunia) membuat kejutan dengan menewaskan rakan senegaranya, Du Yue-Li Yin Hui yang juga ranking ke-7 dunia dengan keputusan 21-19, 16-21, 21-19.

Pasangan beregu campuran nombor satu dunia, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong memenangi kategori itu selepas menewaskan pasangan nombor 2 dunia, Wang Yi Lyu-Huang Dong Ping (China) dengan keputusan 21-19, 16-21, 21-19.

Dalam acara beregu lelaki, Kim Gi Jung-Lee Yong Dae dari Korea Selatan menewaskan Li Jun Hui-Liu Yu Chen dari China 21-14, 21-16 untuk bergelar juara.