Pembantu sekolah ditahan baling kerusi pada pelajar

SIBU: Seorang pembantu pengurusan murid (PPM) ditahan polis semalam untuk siasatan kerana disyaki membaling kerusi sehingga mencederakan seorang murid tahun satu di Song, kira-kira 90km dari sini Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Song, Rowney Michael Jalak berkata, tangkapan ke atas suspek berusia 35 tahun itu dibuat kira-kira 2.30 petang selepas laporan polis dibuat datuk pelajar perempuan itu semalam.

“Datuk mangsa mengatakan cucunya memberitahu kejadian itu berlaku sewaktu suspek sedang mengawasi satu sesi belajar malam di asrama sekolah kira-kira 7 malam pada 8 Jan lepas,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, suspek yang dipercayai di bawah pengaruh alkohol dikatakan berang selepas ada murid membuat bising semasa sesi itu sebelum membaling sebuah kerusi sehingga terkena mangsa yang cedera di bahagian kepala.

“Kejadian berkenaan hanya diketahui datuk mangsa sewaktu mangsa balik ke rumah dari asramanya Jumaat lepas dan mangsa yang dikatakan demam selepas insiden itu, dibawa ke Klinik Kesihatan Song untuk mendapat rawatan lanjut.”

Katanya, suspek dibebaskan dengan jaminan polis selepas kenyataannya direkodkan dan kes itu yang disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan, akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya selepas laporan perubatan mangsa diperolehi.