Pembekal vaksin influenza digesa utamakan doktor swasta

Dr N Ganabaskaran berkata, doktor swasta sepatutnya diberikan keutamaan mendapat bekalan vaksin kerana mereka ialah golongan yang dekat dengan masyarakat. (Gambar AFP)

PETALING JAYA: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa pembekal vaksin influenza memberi keutamaan kepada doktor swasta kerana mereka hanya diberikan “lebihan” selepas hospital mendapat bekalannya.

Presiden MMA, Dr N Ganabaskaran berkata keutamaan biasanya diberikan kepada hospital kerajaan yang disusuli hospital swasta, manakala 7,000 doktor pengamal am hanya mendapat “lebihan” stok.

Katanya, doktor swasta sepatutnya diberikan keutamaan kerana mereka ialah golongan yang dekat dengan masyarakat.

Beliau berkata, ramai doktor swasta mengadu masalah itu kepada pihaknya dan mereka turut menyuarakan rasa tidak puas hati di media sosial.

“MMA berharap pembekal akan memainkan peranan proaktif apabila berlaku peningkatan penyakit tertentu yang dapat dicegah pengamal penjagaan kesihatan utama. Keperluan pesakit perlu didahulukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata, kementeriannya meminta pembekal mendapatkan stok dengan segera bagi memenuhi permintaan di negara ini.

Katanya, kebanyakan fasiliti kesihatan swasta yang sebelum ini melaporkan kekurangan stok ubat anti-virus bagi merawat influenza mula menerima bekalan masing-masing.

Hari ini, Dzulkefly dilaporkan berkata, pegawai kesihatan daerah sedang memantau keadaan di sekolah yang dikesan mempunyai kes jangkitan influenza A bagi mengekang penularan wabak itu.

Seramai 89 pelajar di Johor dan 53 lagi di Pulau Pinang dilaporkan dijangkiti influenza.